Kiriman WhatsApp yang dihantar kepada Datuk Seri Rossa dibalas ramah. Pertanyaan mengenai kesihatannya menjadi pembuka bicara. "Alhamdulillah, sihat," jawabnya bersama emoji hati.

Rossa saat ini sedang trending di Twitter Indonesia dan Malaysia kerana lagu miliknya Hati Yang Kau Sakiti dibikin parodi oleh sahabat baiknya, salah seorang anggota Super Junior dari Korea Selatan, Ryeawook dengan judul sedia ada The Heart You Hurt (lagu ini telah dinyanyikan Rossa dalam bahasa Korea).

Sambil memanjatkan syukur dan bahagia, Rossa berterima kasih kepada peminat yang senang dengan lagu versi Korea tersebut.

Diketahui sebagai seorang penggemar drama Korea, penulis bertanya: "Sekarang masih gila menonton drama Korea Selatan?"

Dengan emoji ketawa, pesohor Indonesia yang sangat merendah diri ini membalas bersama sekeping foto: "Lagi belajar agama, balancing life."

Jawapan tersebut memberi indikasi kondisi kesihatannya yang baik. Melalui voicenote yang dikirim, sering terdengar pemilik nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani, 42, ini melepas tawa.



Akhir bulan lalu beliau mendedahkan dirinya positif COVID 19 sehingga perlu memulangkan semula duit sekitar RM300,000 kepada penganjur kerana tidak dapat memenuhi komitmen membuat persembahan pentas seperti yang telah dijanjikan.

Usai pulih dan kembali beraktiviti, solois yang pernah memecahkan rekod penjualan CD tertinggi dalam sejarah muzik di Republik itu sebanyak 100 ribu unit menerusi album Love, Life & Music pada 2014 kini mengehadkan pergaulan dan menapis tawaran kerja dengan memastikan protokol kesihatan pandemik itu betul betul dipatuhi.

Kepada #Gempak The Untold Story, Rossa secara eksklusif berkongsi kisah dirinya beradaptasi dengan new normal, tentang Indonesia yang kini semakin parah dan hampir lumpuh dengan serangan pandemik tersebut dan tentulah kisah asmara yang tidak pernah diakuinya bersama penyanyi Afgan Syahreza.

#G: Assalamualaikum Rossa, terima kasih kerana telah sudi ditemubual #G The Untold Story edisi Julai 2021. Maaf, kerana mendengar khabar anda sempat dijangkiti COVID 19 sebelum ini. Boleh kongsikan sedikit mengenainya?

ROSSA: Waalaikumusalam, Alhamdulillah syukur saya sihat sekarang. Ya benar, saya telah dijangkiti COVID 19 pada akhir Disember tahun lalu. Sebenarnya saya tidak pasti telah mendapat jangkitan dari mana, tapi mungkin dari aktiviti kerja, shooting.

Bukan saya seorang yang dijangkiti tapi road manager, personal assistant dan makeup artist saya juga sama. Kami satu persatu terkena COVID 19, tapi Alhamdulillah, gejala saya dan lainnya tidak teruk. Kami hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah dan kemudian pulih dalam waktu singkat. Hanya road manager saya mengalami gejala yang lebih berat sehingga perlu ditahan di wad. Tapi sekarang semuanya sudah pulih dan kami kembali beraktiviti namun menerapkan protokol yang sangat ketat.

#G: Bercakap mengenai COVID 19 di Indonesia, keadaannya saat ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. Malah, ramai rakan selebriti dari sana bukan sahaja dijangkiti tapi meninggal dunia.

#ROSSA: Ya memang betul sudah hampir satu setengah tahun pandemik ini berjalan. Walaupun sempat membaik dan menurun, tapi tiba tiba ada varian baru, jadi naik lagi. Jadi sekarang sedang lockdown. Kegiatan semua tidak diperbolehkan.

Banyak sekali selebriti, saudara dan rakan rakan yang kita kenal meninggal dunia. Saya kehilangan banyak orang orang yang baik meninggal kerana COVID 19.

Bagaimana ya, bingung juga kerana kalau melihat saranan pemerintah, rasanya sudah dianjurkan yang terbaik. Seharusnya kita juga memainkan peranan dengan duduk di rumah atau sekurangnya menerapkan protokol. Tapi ya, sebaliknya ramai yang dijangkiti COVID 19.

#G: Sewaktu memberitahu diri anda dijangkiti COVID 19, anda juga mengumumkan telah kerugian sekitar RM300,000 kerana perlu mengembalikan wang tersebut kepada penganjur.

ROSSA: Ya betul dalam temubual bersama Ivan Gunawan saya maklumkan kerugian dan harus mengembalikan sejumlah wang yang sangat besar kerana semuanya telah dibayar dan berada dalam akaun kami. Semua telah dipersetujui tapi saya tiba tiba dijangkiti COVID 19. Ya, rugi yang cukup besar, begitulah sekitar (RM300,000) kerugiannya.

#G: Setelah lebih setahun dan pulih dari COVID 18, bagaimana anda beradaptasi dengan new normal ini kerana dari sisi karier, seorang pelaku seni itu harus keluar bekerja. Kehidupan perlu diteruskan.

#ROSSA: Sebetulnya saya mencari cara bagaimana beradaptasi dengan new normal ini. Mula mula agak bingung kerana saya bukan seorang yang faham tentang online atau arif mengenai teknologi. Jadi sekarang kena belajar tentang online untuk bekerja. Bagaimana bisnes berjalan secara online.

Tapi yang harus disyukuri juga saya dan pengurus dapat membuka sebuah rumah produksi baharu yang namanya Inspire Music atau Inspire Production dan sedang berjalan lancar. Semuanya memang harus belajar yang baru lagi.

Tentang pekerjaan pula, buat masa ini semuanya secara streaming dan dilakukan dari rumah. Namun yang lebih baik, biar kita sihat dahulu. Setakat ini selepas pemerintah mengumumkan Indonesia berada dalam fasa lockdown, saya tidak boleh mengisi undangan yang telah dipersetujui sehingga negara kembali pulih. Jadi saya melakukan semua pekerjaan dari rumah, secara online.



#G: Kita tahu Rossa tidak hanya menjadi biduan dalam bidang seni, tapi juga sukses dengan rangkaian bisnes lain seperti kosmetik. Adakah ia memberi kesan besar kepada anda?

ROSSA: Impak COVID 19 terhadap bisnes saya sangat besar dan boleh dikatakan sulit. Saya dan team perlu berfikir dan mencari solusi bagaimana untuk berjimat dengan cara pengeluaran atau bagaimana strategi pemasaran. Berbanding dahulu, sekarang sama seperti karier di seni, semua bisnes juga dijalankan secara online.

#G: Saya harus salute ya. Di saat pandemik anda tetap berkarya dan Masya Allah sampai terkenal di Korea. Single The Heart You Hurt menerima sambutan hangat bukan hanya di Korea dan Indonesia tetapi Malaysia. Terkini, lagunya diparodikan Ryeawook juga tak kalah mendapat sambutan.

ROSSA: Memang betul saya masih berkarya di saat pandemik ini. Melalui label Inspire Music, saya banyak mengeluarkan single single pilihan untuk dinyanyikan oleh penyanyi masa kini, juga pilihan saya seperti Gabriel Prince dan ada yang lainnya. Kami juga selesai memproduksi konsert saya dan Afgan. Kemudian memproduksi program seperti komedi.

Dalam masa yang sama, saya keluar dengan dua single iaitu Masih dan The Heart You Hurt. Kedua duanya ada 'unsur' Korea. The Heart You Hurt adalah lagu saya, Hati Yang Kau Sakiti yang saya nyanyikan sepenuhnya dalam bahasa Korea selepas terjebak menonton drama popular The World of Married.

Saya kemudian meluncurkan single Masih yang menyaksikan berkolaborasi bersama aktor Korea,
Ki Do Hoon. Dan apabila Ryeawook membuat parodi lagu The Heart You Hurt, ia menjadi trending di Indonesia juga Malaysia. I'm so bless for having a good friend like Ryeawook dan juga yang lainnya. Oleh kerana kami berada di bawah satu label, buat masa saya dan Super Junior hanya boleh menjalin kolaborasi secara streaming kerana saya tidak boleh terbang ke Korea dan mereka tidak juga boleh melakukan rakaman di Indonesia kerana masalah pandemik yang belum berakhir.

#G: Ini soalannya di luar konteks. Maaf bertanya kerana gosipnya sampai ke Malaysia. Soal pernyataan Ivan yang mengatakan jika bercuti dengan Rossa, belanjanya selalu anda bayar. Paling untung adalah Afgan sebab selalunya anda juga didakwa membayarkan perbelanjaan penyanyi itu. Mungkin boleh jelaskan lebih lanjut?

ROSSA: Itu hanya gurauan, tak ada perkataan seperti itu (keluar duit untuk Afgan). Ini hanya internal jokes untuk Afgan. Waktu itu, Ivan mengatakan saya belanja dia makan, dia bergurau tentang Afgan.

Kami semua berkawan (Ivan, Afgan) jadi ya sebagai kawan kadang kadang kami membayar makan atau perbelanjaan sendiri. Kadang kadang di antara kami ada yang saling membayarkan perbelanjaan yang dibuat.

Tapi apa yang dikeluarkan (bayaran) di antara kami tidak ada yang bersifat buruk, semuanya sama. Dan oleh kerana kami semua adalah kawan, jadi kami berani untuk saling bercanda mengenai hal itu (duit) kerana ia hanya sebuah internal jokes. Tak ada yang serius.



#G: Rossa, gosip anda dan Afgan menjalin asmara bukan hal baharu. Sudah terlalu lama menjadi buah mulut. Saat ini adakah anda siap untuk menikah lagi? Siap menerima lamaran dari Afgan untuk menjadi isterinya?

ROSSA: Belum siap! Belum terfikir menikah, apa lagi dalam kondisi seperti ini. Saya sudah punya anak. Belum, belum memutuskan siapa yang akhirnya terbaik untuk menjadi pilihan terakhir saya nanti. Jadi misalnya kalau ada yang mahu beratur, (menjadi calon suami) boleh.

Foto: Rossa