Selepas kali terakhir datang ke Malaysia pada tahun 2019, band terkenal berasal dari Indonesia, Nidji bakal mengubati rindu peminat menerusi satu mini konsert pada acara Dream Festival yang dianjurkan oleh Inspire IDN pada 16 Mac depan.

Bagaimanapun, pada konsert kali ini Nidji tidak bersendirian apabila band tersebut bakal berkolaborasi bersama seorang pemuzik tersohor negara itu, Budi Doremi.

Penganjur mahu tampilkan kelainan

Menurut wakil Inspire IDN, Gita, gabungan Budi Doremi x Nidji merupakan kelainan yang cuba ditampilkan pihak mereka memandangakn kedua-duanya membawakan genre yang berbeza.

Ini kerana, Budi Doremi lebih dikenali dengan muzik bergenre pop reggae, manakala Nidji pula lebih dikenali dengan muzik bergenre modern rock.

Malah, pihaknya juga merasa teruja memandangkan ini kali pertama Inspire IDN menganjurkan festival di negara ini.

“Terima kasih Budi dan Nidji kerana menjadi barisan artis yang bersama kami untuk debut pertama di Malaysia.

“Objektif kami adalah ingin menampilkan sesuatu yang berbeza dan kita lihat genre muzik yang berbeza juga daripada kedua dua mereka.

“Ketika pihak kami melamar Budi dan Nidji, kemudian mereka bersetuju, itu adalah satu keputusan yang sangat teruja buat kami.

“Kolaborasi antara mereka sangat unik. Semoga ini menjadi satu persembahan yang bagus nanti,” katanya.

Memilih Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi, konsert mini Budi Doremi x Nidji bakal menghiburkan peminat dengan koleksi lagu popular dan hits kedua dua pemuzik tersebut.

Nidji imbau kenangan lama

Sementara itu, menurut pemain gitar Nidji, Rama, dirinya akui teruja apabila dia besama band itu dapat kembali sekali lagi di Malaysia.

“Alhamdulillah, akhirnya dapat kembali sekali lagi ke Malaysia untuk buat persembahan. Perasaan sangat gembira dapat datang ke Kuala Lumpur.

“Banyak yang kami ingin sajikan pada malam konsert tersebut. Yang pastinya kami janji penonton akan terhibur.

“Kami juga sangat teruja, kali terakhir 2019, Inspire production telah membawa kami semula dengan usia band kami yang sudah mencecah 21 tahun dalam industri muzik.

“Ini seperti mengulang perjalanan awal Nidji, sebelum ini kita terganggu kerana Covid 19. Kali ini dapat hiburkan semula dan buat konsert, senang sangat rasannya,” katanya.

Budi Doremi persiapkan muzik

Dalam pada itu, Budi juga akui teruja untuk tampil pada konsert berkenaan memandangkan ini merupakan penampilan sulungnya bagi persembahan berskala besar.

“Ini kali pertama saya konsert di Malaysia. Tapi pernah juga datang ke Malaysia untuk promosi lagu saya.

“Jadi antara persiapan yang saya buat adalah menjaga kesihatan saya sebaiknya, jaga suara saya. Persiapkan muzik yang saya akan bawakan nanti agar nanti lancar nanti,” katanya.

Bagi yang berminat, pembelian tiket dapat didapati melalui aplikasi dan laman web https://www.ticket2u.com.my