Gadis Bond pertama, Claudine Auger meninggal dunia pada usia 78 tahun di kediamannya di Paris, Perancis pada Khamis, lapor AWANI.

Walaubagaimanapun, punca kematian pelakon tersebut masih belum dikenal pasti.

Jelitawan yang mencipta populariti menerusi filem "Thunderball" pada tahun 1965 itu menjadi dambaan setiap jejaka ketika kemunculannya sebagai pendamping perisik terkenal ejen 007, James Bond.

Menerusi filem berkenaan, Auger yang memegang watak sebagai Dominique 'Domino' Derval menjadi gadis Bond kepada pelakon Sean Connery.

Lahir pada April 1941, karier awal Auger bermula sebagai seorang model yang mewakili Perancis dalam pertandingan Ratu Cantik dunia pada tahun 1958.

Filem pertama lakonannya adalah "The Iron Mask" pada tahun 1962 sebelum namanya dijulang untuk watak gadis Bond.

Domino merupakan wanita simpanan kepada watak jahat, Emilio Largo yang kemudiannya jatuh cinta dengan ketampanan Bond.

Penangan cinta Bond menyebabkan wanita itu yang melarikan diri daripada tawanan Largo sehingga sanggup membunuhnya menggunakan serampang.

Auger turut membuat aksi lagak ngeri sendiri serta beberapa kemunculan dalam persalinan pakaian mandi dalam filem berkenaan.

Semasa hayatnya, Auger pernah berkahwin sebanyak dua kali dengan pengarah Pierre Gaspard-Huit dan ahli perniagaan British, Peter Brent selama 20 tahun sebelum lelaki itu meninggal dunia pada tahun 2008.

Perkahwinan Auger bersama Brent dikurniakan seorang anak perempuan, Jessica Claudine Brent pada tahun 1991.

Sumber : Astro AWANI