Sebuah rakaman video pergaduhan melibatkan beberapa kumpulan di sekitar Low Yat pada Jumaat telah menjadi tular di media sosial.

Susulan itu, pihak polis menerima laporan daripada orang awam mengenai kekecohan tersebut.

Hasil siasatan, polis mengesahkan pergaduhan tercetus kerana berebut pelanggan, seperti dilaporkan Awani.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisoner Mohamad Zainal Abdullah, mengesahkan kejadian tersebut dan menerima panggilan orang awam memaklumkan tentang kejadian berkenaan.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian tersebut dan sebaik menerima maklumat sepasukan polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Unit Kereta Peronda (URB) dan Ketua Polis Balai Tun HS Lee, bergegas ke lokasi kejadian.

“Polis telah menahan seramai 42 individu kesemuanya masing-masing berusia 20 hingga 35 tahun dan kejadian tersebut tidak mempunyai sebarang isu perkauman,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, tular kejadian pada jam 7 malam itu menyaksikan berlakunya insiden kekecohan melibatkan sebuah kedai menjual peralatan komputer.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Sumber & Foto: AWANI