Berita
Gambar Bersama Mangsa Ke-11 COVID-19 Tular, Imam Muda Asyraf Terkejut... "Ramai Ingat Saya Pergi Ijtimak Tabligh ..."
Juara Imam Muda musim pertama, Asyraf Ridzuan aku terkejut apabila fotonya bersama mangsa ke-11 wabak COVID-19 yang meninggal dunia hari ini tersebar di media sosial.
Kata Asyraf kepada mStar, dia menerima banyak kiriman teks daripada kenalanya yang bertanyakan khabarnya.
"Saya dapat banyak mesej sejak semalam. Saya mula ingat kawan-kawan hantar mesej biasa je, sebab ingatkan nak kait kenal ke orang ni (arwah)?
"Lepas tu bila tengok semua dok pakat mesej macam ni, jadi banyak mesej berantai semua dok sebar. Saya pun tak boleh kata apalah," katanya.
Malah Asyraf mengakui gambar tersebut merupakan gambar lama yang dirakam sewaktu dia mengadakan ceramah di sebuah masjid di Alam Damai, Cheras pada Disember lalu.
"Ramai ingat saya pergi ijtimak (perhimpunan tabligh)... baru balik ke apa padahal gambar tu gambar lama. Saya ada ceramah dekat masjid Alam Damai bulan 12 tahun lepas.
"Gambar lama tu... lama dah. Kami tak rapat tapi saya pernah berurusan dengan arwah sebelum ini. Saya tak tahu kenapa orang pilih gambar tu.
"Mungkin masa AJK masjid tengah cari dalam fail mungkin gambar tu yang keluar. Tapi bila kita pergi ceramah mana-mana orang akan tangkap gambar dengan kita tu biasalah," katanya.
Dalam pada itu, Asyraf turut meminta orang ramai supaya mendoakan yang terbaik untuk arwah.
"Saya sedia maklum dengan berita pemergian arwah malam tadi. Jadi saya minta orang ramai supaya doakan yang baik untuk arwah.
"Janganlah pandang serong kepada mereka yang meninggal akibat wabak ini. Wabak ini tak mengenal agama dan bangsa, sesiapa saja boleh terkena," katanya.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes kematian ke-11 (kes ke-1,070) membabitkan seorang warganegara Malaysia berusia 70 tahun dengan latarbelakang penyakit kronik.
Individu tersebut yang juga seorang pengerusi surau kawasan setempatnya mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada bulan Februari 2020.
Malah, individu tersebut mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada 18 Mac 2020.
Pada Ahad, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan 123 kes baharu, menjadikan keseluruhan sebanyak 1,306 setakat ini.
Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Sumber: mStar
Must-Watch Video