Gara-gara tersalah memilih pewarna, kuih Tart Cadbury yang dibuatnya menjadi bahan jenaka warganet di Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official.

"Tart Cadbury Komando. Nadia geli hati nak taip. Kisahnya silap pewarna, nak ubah lagi teruk. Tapi takpa la tak lawa lambat habis," tulisnya.

Pemilik akaun terbabit, Nor Nadiah Sulaiman, 27, menyatakan kuih tersebut dibuat untuk dua orang anak kecilnya justeru dia memilih warna ungu pada asalnya.

Walau bagaimanapun akibat gabungan warna biru dan merah tidak menjadi seperti yang diinginkan, dia nekad untuk menambah pewarna berwarna hijau.

"Mulanya saya buat kuih ini mengikut resepi biasa. Disebabkan saya tahu tidak ada warna ungu, jadi saya ikut cakap Google untuk campur warna.

"Biru campur merah kan jadi ungu. Malangnya warna tak jadi ungu. Sangat tak lawa bagi saya.

"Jadi saya tambah warna hijau ubah sendiri kononnya. Bila dah tengok hasilnya, rasa sayang nak buang adunan itu jadi saya teruskan.

"Niat saya buat nak bagi dua orang anak saya makan. Budak-budak tak tahu apa, mereka makan saja," katanya ketika dihubungi Gempak.



Tambah Nadiah, walaupun hasil tidak memuaskan namun dia tetap meneruskan bagi mengelakkan pembaziran berlaku.

"Reaksi saya okay saja bila tengok warna kuih tu. Saya teruskan sebab tak nak membazir. Lagipun rasanya sedap dan cair dalam mulut.

"Selepas dikongsikan di FB, banyak nama diberikan kepada kuih saya antaranya bom tangan, tayar, ulat beluncas dan lain-lain. Ada juga yang minta saya kongsi resepi," katanya lagi.

Perkongsian itu mendapat lebih 50,000 tanda suka (likes) dan 6,000 komen.