Laman Utama
Gara-Gara Angkara Cinta, Hun Haqeem Dibenci? - " Saya Gembira Walau Dicaci"
Pelakon yang kian meningkat naik, Hun Haqeem akui watak lakonannya dalam drama Angkara Cinta sangat mencabar.
Menurut Hun, watak sebagai Luqman itu memerlukannya untuk menjiwai perasaan marah dengan kerap.
"Sangat mencabar sebab saya bukan sejenis yang baran, jadi, untuk merealisasikan kehendak skrip agak mencabar juga.
"Kadang-kadang, penat untuk mewujudkan perasaan marah itu dan menukar emosi terlampau drastik, ia berlaku dengan kerap," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Hun bersyukur dan sangat gembira kerana lakonannya dalam drama bersiri itu memberi kesan kepada penonton.
"Alhamdulillah, saya sangat gembira walaupun dimaki dan dicaci, ia merupakan tanggungjawab saya untuk meyakinkan penonton dengan watak itu.
"Jadi, saya akan buat yang terbaik untuk menjayakan tanggungjawab yang diberi.
"Bila orang benci dengan watak itu maksudnya, Alhamdulillah we pulled it off," katanya.
Tambah Hun, dia berminat untuk melakonkan watak sebegitu lagi dalam projek akan datang kerana disifatkan sebagai satu proses pembelajaran.
"Saya mahu lagi, tak kira macam mana pun, kita sebagai pelakon, perkara sebegini akan mendewasakan kita.
"Saya pun baru setahun jagung dalam industri, inilah yang akan buat saya belajar dan memperbaiki diri," tambahnya.
Difahamkan, Hun hanya mempunyai masa selama tujuh hari untuk membuat persediaan menjayakan watak tersebut.
"Seperti yang saya katakan, saya bukanlah orang yang pemarah, apa yang saya buat untuk jayakan watak ini adalah baca skrip betul-betul untuk memahami watak dan menonton bermacam filem sebagai rujukan.
"Saya pun ada tujuh hari sahaja untuk buat persediaan watak Luqman," katanya lagi.
Selain Hun, drama 115 episod arahan Hadith Omar ini turut menampilkan Meerqeen, Wanna Ali, Nina Juren dan ramai lagi.
Angkara Cinta ditayangkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6.00 petang di Astro Prima (105) dan Astro Go atau strim menerusi Ultra Box.
Must-Watch Video