Laman Utama

#GempakKeliwon: Waktu Maghrib Masih Atas Jalan, Nak Jalan Pintas Punya Hal Ikut Waze Sekali Sampai Kubur!

gempak
Mya Amri
29/07/2021
11:25 MYT
Sponsor Banner
#GempakKeliwon: Waktu Maghrib Masih Atas Jalan, Nak Jalan Pintas Punya Hal Ikut Waze Sekali Sampai Kubur!
Orang dulu-dulu selalu pesan kalau keluar rumah jangan waktu maghrib sebab tak elok, kot-kot ada yang mengikut balik.
Jadi aku terpanggil untuk berkongsi kisah aku, mungkin bagi orang tak berapa seram tapi bukan untuk aku. Cukup lah sekali je pengalaman macam ni, pucat muka woo!
Sebenarnya bukan sengaja nak keluar waktu senja, tapi secara kebetulan waktu itu aku dalam perjalanan pulang, kena pula jalan sesak, memang lama lah dalam kereta.
Disebabkan tahap kesabaran ketika itu senipis zarah, maka aku dengan semangatnya nak ikut jalan pintas dengan bantuan aplikasi Waze.
Waze punya waze sekali sampai kubur!
Ingat lagi masa ikut petunjuk yang waze bagi, aku dah mula rasa tak sedap hati sebab jalan tu macam aneh, kiri kanan banyak pokok. Jalan tu pula memang aku tak familiar lepas tu sunyi.
Aku perasan masa lalu jalan tu, ada beberapa kenderaan dari arah bertentangan memberikan isyarat lampu, ada juga pakcik-pakcik yang menunggang motosikal dengan memakai baju melayu serta berkopiah memberikan pandangan hairan pada aku.
Namun aku masih husnuzon, dalam hati terdetik, “Oh mungkin pakcik-pakcik itu nak pergi ke masjid menunaikan solat,”.
Semakin lama jalan yang dilalui semakin sempit, hari pula makin gelap. Tidak lama selepas itu, frekuensi radio aku mula mengalami gangguan. Kejap bunyi kejap tak bunyi, waktu ini memang tengkuk dah rasa semacam, badan pun seram sejuk.
Tiba-tiba sampai separuh jalan waze berbunyi kata aku dah sampai ke destinasi. Korang boleh bayangkan tak bila kau berhentikan kereta rupa-rupanya kiri dan kanan kau tu kubur!
Depan kau pula rupanya jalan mati! Aku memang tak perasan langsung sebab sibuk fikir aku ni lalu jalan yang betul ke tak.
Memang dah tak fikir apa, nauzubillah berada dekat kawasan kubur yang besar, waktu maghrib pula tu. Terus aku undur kereta, pusing dan pecut keluar kawasan tu.
Memang pucat muka aku, jantung berdebar teruk sampai terpaksa berhenti di tepi jalan berdekatan kawasan masjid untuk tenangkan diri.
Tiba-tiba bunyi ketukan ditingkap! Memang aku menjeritlah! Rupanya pakcik yang menunggang motosikal tu minta aku turunkan tingkap.
“Assalamualaikum nak. Buat apa ke kubur maghrib-maghrib ni? Kamu seorang ke? Pakcik nampak kamu tadi tapi macam ada orang di belakang, mana kawan kamu?” sapanya.
Korang rasa apa perasaan aku bila pakcik tu tanya begini? Untuk pengetahuan, aku berseorangan dalam kereta ya, tidak ada kawan pun.
Cukuplah, lepas ni aku memang tak mahu lalu jalan pintas yang aku sendiri tak kenal. Mujur tidak ada apa-apa jelmaan depan mata. Nauzubillah, mintak jauh sangat.
Aku tak tipu, sampai sekarang pun aku jadi paranoid nak pakai waze cari jalan pintas lagi-lagi waktu petang lepas balik kerja. Aku rela tempuh jem dari kena lalui benda-benda seram macam ni.
Foto: Aerill.com / p1.pxfuel.com
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live