Saban tahun, kita sentiasa menantikan karya-karya baru daripada penggiat seni untuk disajikan kepada penonton.

Bagi pencinta filem, sudah pasti naskhah anak tempatan yang bakal muncul di layar perak antara yang ditunggu-tunggu.

Semestinya penonton mengharapkan sebuah karya yang lebih segar daripada pembikin filem, lebih-lebih lagi apabila naskhah tersebut ditayangkan untuk tahun 2020 yang mana kedatangannya cukup signifikan buat rakyat Malaysia.

Jika tahun sudah filem animasi BoboiBoy Movie 2 mendapat tempat di hati penonton sekaligus, mengungguli carta kutipan filem paling tinggi, namun, tahun ini filem apakah yang bakal laris? Semua itu masih lagi menjadi tanda tanya.

Sungguhpun begitu, sempena kehadiran 2020 pada hari ini, Gempak senaraikan 10 filem tempatan yang bakal menemui anda pada tahun ini.


1. THE GARDEN OF EVENING MISTS
Tarikh tayangan: 16 Januari 2020
Pengarah: Tom Lin Shu-yu
Pelakon: Sinje Lee, Hiroshi Abe, Sylvia Chang, David Oakes, Julian Sands dan John Hannah.



Ini filem tempatan yang menjadi pembuka tirai 2020 yang perlu anda tonton. Mana tidaknya, ia merupakan sebuah filem bertaraf antarabangsa yang diadaptasi daripada novel The Garden of Evening Mists, karya asal penulis tempatan, Tan Twan Eng.

Menariknya, dalam filem ini, ia memaparkan kisah seorang wanita yang cuba membina sebuah taman Jepun sebagai lambang kasih dan sayangnya kepada adik perempuannya yang dibunuh semasa zaman pemerintahan Jepun.

Memaparkan kehidupan selepas zaman Perang Dunia Kedua, filem terbitan Astro Shaw dan HBO Asia yang menggunakan tenaga produksi daripada beberapa buah negara ini juga sudah menerima beberapa pengiktirafan termasuklah Kostum dan Solekan Terbaik di Anugerah Golden Horse ke-56 di Taiwan baru-baru ini.


2. M4M4
Tarikh tayangan: 6 Feb 2020
Pengarah: Eyra Rahman
Pelakon: Nabila Huda, Bella Dowanna, Faizal Hussein, Kodi Rasheed, Ungku Hariz, Niezam Zaidi, Izzy Reef dan Eyra Hazali



Filem yang mengangkat genre horror thriller ini mengisahkan seorang ibu yang mahu membalas dendam terhadap kematian anak perempuannya yang mati dek dirogol dan dibunuh.

Sudah menjalani penggambaran sejak Disember 2018, filem yang mengetengahkan watak Aini lakonan Nabila Huda sebagai 'mama' ini antara yang ditunggu-tunggu hasilnya.

Lebih-lebih lagi sewaktu penggambaran, difahamkan, Nabila turut mengigau, melalak dan asyik meraung ketika menjayakan wataknya itu! Wah, yang mendengarnya pun seram!


3. RATU KALA JENGKING: PUTERI KERANDA
Tarikh tayangan: 27 Februari 2020
Pengarah: Bade Hj Azmi
Pelakon: Nadia Brian, Amar Asyraf, Datuk Fizz Fairuz, Firman Siagan, Dayang Areeda, Eyra Hazali dan Fauziah Nawi



Naskhah ini merupakan filem pertama terbitan A. Aida Productions Sdn. Bhd. Filem yang menelan kos sebanyak RM3 juta ini sudah mula menjalani penggambaran pada Mei 2018 di Kota Tinggi, Johor.

Mengambil masa selama 35 hari, menariknya, skrip filem ini ditulis oleh Datuk A. Aida sendiri dalam tempoh tiga hari sahaja.

Ia mengisahkan seorang wanita yang menerima sumpahan di mana setiap lelaki yang mengahwininya akan mati.


4. ABANG LONG FADIL 3
Tarikh tayangan: 2020
Pengarah Syafiq Yusof
Pelakon: Zizan Razak, Johan, Elizabeth Tan, Datuk AC Mizal, Daniella Sya, Maya Karin, Elizabeth Tan, Tania Hudson, Hairul Azreen, Johan, Wak Doyok, Ozlynn, Kazar Saisi dan Siraj Alsagoff



Selepas kejayaan sekuel sebelumnya yang berjaya mencatatkan jumlah kutipan RM18.1 juta, filem sekuel ketiga arahan Syafiq Yusof ini bakal menemui penonton pada tahun ini.

Menelan kos sekitar RM4 juta, filem yang mengangkat genre aksi komedi ini masih mengekalkan watak utamanya iaitu Zizan Razak.

Mula menjalani penggambaran pada Jun 2018, ia menjadi antara karya yang ditunggu-tunggu umum apabila pernah dikatakan ia merupakan sebuah filem setaraf Hollywood.


5. DAULAT
Tarikh tayangan: 2020
Pengarah: Imran Sheikh
Pelakon: Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Tony Eusoff, Cristina Suzanne, Jasmine Suraya, Zul Zamir



Filem ini boleh dikatakan cukup istimewa apabila menjadi karya pertama yang mengangkat genre political thriller di negara ini.

Lebih menarik, ia bakal memaparkan sisi gelap kehidupan dunia seorang ahli politik dengan menampilkan Vanidah Imran sebagai pendukung utama.

Biarpun pernah dijangka ditayangkan sekitar awal tahun ini, namun, filem ini difahamkan masih belum lagi mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem.


6. MAT KILAU
Tarikh tayangan: 2020
Pengarah:Syamsul Yusof
Pelakon: Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian, Wan Hanafi Su, Johan As'ari, Nadiya Nisaa dan Ali Karimi



Karya terbitan Kembara Studio bersama Skop Productions ini merupakan sebuah filem epik yang diinspirasikan mengenai kisah perjuangan pahlawan bernama Mat Kilau.

Bagaimanapun, filem ini bukanlah seratus peratus mengikut kisah benar, sebaliknya sudah diolah dan disesuaikan mengikut pasaran semasa.

Filem ini menelan kos sebanyak RM5 juta. Proses penggambaran naskhah ini pernah terhenti seketika pada Julai 2018 ekoran masalah dalaman sebelum dikatakan menyambung semula pada Oktober 2018.


7. BULAN & PRIA TERHEBAT
Tarikh tayangan: 12 Mac 2020
Pengarah: Ghaz Abu Bakar
Pelakon: Zahirah Macwilson, Zizan Razak, Bell Ngasri, Alif Hadi, Khir Rahman, Maya Karin, Mimi Ernida, Aprena Manrose dan Sofia Dendroff



Selepas banyak menghiasi wajahnya di kaca televisyen, Zahirah bakal membuat kemunculan sulung di layar perak menerusi filem Bulan & Pria Terhebat.

Bagi peminat Zahirah, pasti tidak sabar untuk melihat sendiri sisi lain Zahirah yang membawakan karakter yang cukup lasak.

Filem tersebut sudah mula menjalani proses penggambaran sekitar penghujung tahun 2018.


8. POLIS EVO 3
Tarikh tayangan: 2020
Pengarah: Syafiq Yusof
Pelakon: Zizan Razak, Shaheizy Sam, Syafiq Kyle, Nora Danish



Selepas kejayaan dua sekuel sebelum ini, Polis Evo 3 dijangka menemui penonton pada tahun ini.

Proses penggambaran karya arahan Syafiq Yusof ini dikatakan bakal bermula tidak lama lagi selepas proses pembacaan skrip sudah berlangsung pada November lalu.

Menariknya, Polis Evo 3 bakal menampilkan buat pertama kali Syafiq Kyle bergandingan bersama dua teraju utama sebelum ini, Zizan dan Shaheizy membawakan watak sebagai Inspektor Danny.


9. ROCK 4: ROCKERS NEVER DAI
Tarikh tayangan: 20 Februari 2020
Pengarah: Mamat Khalid
Pelakon: Sharwani, Hazama Azmi, Adam John, Nazimi Fahmi dan Bulan Terry



Selepas tampil dengan tiga sekuel, Rock (2005), Rock Oo! (2013) dan Rock Bro! (2016), pengarah tersohor Mamat Khalid kini tampil dengan karya terbaru Rock 4: Rockers Never Dai.

Ia merupakan kisah kesinambungan dari filem ketiga yang mana Dio yang terlibat dengan kemalangan sebelum ini telah koma untuk satu tempoh yang cukup lama.

Sebaik terjaga, dia menyedari dirinya berada pada zaman moden. Dia kemudian bergabung dengan beberapa pemuzik muda baru dan menubuhkan Rimba Bara 2 bagi meneruskan legasi kumpulan rock Rimba Bara.

Pastinya ia antara yang ditunggu-tunggu selepas taruhan menerusi filem Hantu Kak Limah yang mengutip kutipan pecah panggung pada 2018.


10. PROKSI
Tarikh tayangan: 2020
Pengarah: Zulkarnain Azhar
Pelakon: Ashraf Sinclair, Bront Palarae, Sangeeta Krishnasamy, Remy Ishak, Susan Lankester, Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Siti Saleha dan Adrianna Qasmia



Sesuai dengan perubahan gaya hidup dalam dunia digital, filem ini mengangkat jenayah siber yang berlaku dikeliling kita.

Bahkan, difahamkan, Proksi merupakan filem aksi pertama yang mengangkat isu penipuan di alam maya.

Filem ini berkisarkan tentang kehidupan seorang penggodam bernama Aman lakonan Ashraf Sinclair dan rakannya Sam (Bront Palarae) berusaha menyelamatkan data dan maklumat rahsia negara daripada ancaman siber.