Laman Utama
#GempakSpot: Cabaran Belanja Dengan RM100, Apa Yang Isi Rumah Dapat Saat Sukar Berdepan Pandemik?
Sepasang suami isteri dengan empat anak, isi rumahnya ada enam orang. Sejak pandemik Covid 19 melanda, mereka belajar menyesuaikan diri dengan keadaan. Kata mereka kepada saya, untuk persediaan kalau salah seorang daripada mereka ditakdirkan hilang pekerjaan.
Pasangan suami isteri ini duduk dalam kelompok T20. Hidup pun sesuai gaji; ada dua buah kereta, sebuah motosikal dan duduk apartment di tengah ibu kota. Anak anak sekolah kerajaan. Perbelanjaan bulanan yang dibuat termasuk bayar bil itu dan ini, semuanya mengikut kadar gaji isi rumah mereka berdua.
Kata si isteri, sejak beberapa bulan ini mereka mula menabung dengan lebih giat. Jumlah tabungan yang dimasukkan ke dalam akaun seperti ASB ditambah berbanding dahulu.
Advertisement
Mereka juga mula untuk tidak berbelanja benda benda tak penting seperti pakaian.
Fokus saat ini diberikan kepada berjimat soal membeli makanan. Ya, akui pasangan ini, kebanyakan duit gaji mereka dihabiskan dengan membeli makanan; yang kebanyakannya adalah dibeli kerana kemampuan, bukan kerana ia keperluan asas.
Misalnya, untuk anak anak pasti ada susu, bijirin, coklat atau chips; dan ganda empat kerana selera anak anak berbeza.
Untuk si isteri, dia memberi contoh memiliki air minuman kegemaran yang harganya jika membeli empat botol akan bersamaan dengan harga beras 5 kilogram. Belum lagi suami yang begitu meminati aiskrim atau kopi.
Memang, kata mereka bukan sombong tapi dengan pendapatan isi rumah T20, biasanya sekitar RM1 ribu dihabiskan untuk membeli makanan sama ada dimasak sendiri atau dipesan melalui atas talian.
Jadi satu hari si isteri memberi cabaran kepada suami. Dia meminta si suami memberi barangan dapur dengan hanya RM100; tolak beras dan minyak masak yang masih ada di rumah.
Dia mahu tahu adakah suami yang selalunya keluar berbelanja mampu atau tidak membeli barangan dapur dengan RM100 dan apa sahaja barangan yang dapat dibawa pulang.
Dan jangan salah faham juga, apa yang dilakukan bukan untuk merendahkan perbelanjaan orang lain, cuma selepas berpuluh tahun berbelanja mengikut selera dan keselesaan T20. Ia hanya cabaran buat suami yang diketahui memang selalu 'kalah' bab berbelanja.
Si isteri memesan makanan yang sudah kehabisan stok seperti; seekor ayam, ikan, telur, roti, cili merah, bijirin, susu dan beberapa barang asas lainnya.
Si suami pulang, total keseluruhan hanya RM84.60. Si isteri tersenyum lega, maksudnya boleh lah berbelanja dengan hanya RM100.
Kemudian si suami mengatakan: "RM84.60 ini hanya dari satu tempat. Tapi di NSK untuk belanja lainnya ada RM62.80. So total RM147.40 sen. Terlebih RM47.40 sen."
Dan dia juga mengingatkan bahawa perbelajaan isi rumah termasuk jenis makanan yang dibeli berbeza beza.
"Ada orang makan telur biasa, tapi kita mungkin telur jenis Omega, jadi berbeza beza selera dan kehendak kita," kata si suami lagi takut dikecam netizen.
Si isteri membuka beg dari perbelanjaan yang dibeli di NSK. Antara kehendak yang dibeli si suami adalah Fish & Chips yang berharga RM26, susu dua liter dua, botol dengan harga sekitar RM13.50 sebotol, tempe gred A, cili padi, tomato dan sayur yang totalnya RM62.89.
Sementara untuk beg dari supermarket lainnya, si suami rupanya membeli dua ekor ayam, tiga paket telur, roti saiz besar dan beberapa barang lainnya. Sebab kalau seekor ayam mungkin untuk berapa hari sahaja dan begitu juga roti, dimakan empat anak mereka, sehari habis. Jadi kekangannya di sini juga; jika keluarga besar bukan tidak mahu berjimat atau RM100 cukup, sebaliknya jumlah ahli keluarga perlu diambil kira.
Kesimpulannya juga, dalam eksperimen yang dilakukan keluarga, mereka ini gagal mengawal perbelanjaan dengan kos RM100 kerana tidak membuat pilihan utama iaitu keperluan berbanding kehendak selain isi rumah yang ramai.
Bersyukurlah juga kerana masih punya wang untuk membeli makanan atau keperluan asas kerana bagi segelintir keluarga, RM100 amat besar nilainya dan dibelanjakan dengan sangat berhemah.
Saya terkenang kenang bagaimana ramainya orang di luar sana yang sedang mengalami masalah kewangan dan kehidupan yang semakin menghimpit.
Semoga pihak yang masih mempunyai rezeki lebih tidak lokek berkongsi, manakala golongan yang tidak berkemampuan tidak mengambil kesempatan. Sama samalah kita jaga kita.
Pandangan dan pendapat penulis adalah karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke GempakSpot.
Must-Watch Video