PERSONAL OPINION | PENDAPAT PERIBADI
#GempakSpot: “Dengan Gaji Bawah RM1,400, Aku Survive Tinggal Di Kuala Lumpur, Kumpul Duit Kahwin Dan Lain-Lain”
Ramai jugak yang tanya aku macam mana dengan gaji bawah RM1,400 dan tinggal di Kuala Lumpur tapi masih boleh hidup, kumpul duit hantaran untuk perkahwinan dan bermacam-macam lagi semua. Aku kongsikan pengalaman sendiri dan ini adalah cerita benar.
Kerja
Perkara pertama yang anda perlu tahu adalah aku merupakan seorang editor bebas (freelance editor). Dan aku bukan jenis freelancer yang bertimbun gila dapat kerja melimpah.
RM1,400 tu secara kasar yang aku dapat setiap bulan tapi kadangkala ada juga hanya dapat RM1,000, RM800 dan sebagainya. Yalah, kalau dah tak ada kerja, siapa yang nak bagi duit kan?
Tapi bila nak kahwin aku kena juga bekerja keras untuk mencari duit hantaran dan sebagainya, dan aku cuba kaut sebanyak mungkin kerja-kerja editing yang aku boleh buat pada satu masa bila ada kerja yang datang.
Aku tak memilih, kerja editing yang bayarannya RM200 pun aku buat. Paling murah aku buat RM50, job pelajar mana aku tak ingat. Siap kena pakai AE (After Effect) lagi.
Simpanan
Untuk duit simpanan aku buat dua akaun bank, satu untuk belanja dan satu lagi untuk simpanan. Untuk akaun simpanan, aku tinggalkan kad ATM di kampung.
Bila setiap kali aku dapat bayaran, aku akan ambil 20% sahaja untuk duit belanja dan selebihnya aku masukkan ke dalam akaun bank yang aku tak pegang kad ATM tu.
Waktu aku kumpul duit aku memang macam tak berdunia dengan orang. Aku tolak jauh-jauh hiburan atau melepak yang boleh menghabiskan duit seperti paip air bocor.
Rumah Sewa, Duit Makan & Belanja
Aku duduk rumah sewa satu rumah 8-9 orang yang mana membuatkan kos duit sewa bulanan aku akan kurang. Tolak tepi sekejap keselesaan biasa tapi tidak lah sampai aku tak selesa langsung.
Duit makan pun boleh berjimat kerana aku tinggal dengan 8-9 orang dan semuanya adalah kawan-kawan aku, jadi kami berpakat untuk berkongsi duit dapur seorang RM10 ringgit dan masak sendiri.
Sumpah aku cakap setiap hari lauk sama saja - nasi putih dengan ayam potong masak sambal. Kalau rasa bosan sikit masak la telur. Itu saja kami makan asalkan kenyang dan itu pun belajar memasak dari YouTube. Lebih baik lah dari nasi bujang kan?
Kalau anda buat cara macam ni duit makan anda akan jimat banyak untuk setiap bulan. Ikhlas aku cakap duit makan bulanan aku kadangkala hanya RM100 saja termasuk duit minyak motor. Pakai motor lah jimat banyak benda. Dan aku tak merokok, jadi aku tak payah nak fikir macam mana nak keluar bajet untuk rokok.
Tempoh Masa Kumpul Duit
Yang ini bergantung kepada berapa banyak yang anda nak kumpul. untuk aku, aku ambil masa dekat setahun. Kalau anda nak lagi banyak mulalah kumpul dari saat ini.
Itu sahaja yang aku buat untuk kumpul duit kahwin. Aku doakan pada yang tengah bersusah payah kumpul duit utk kahwin, agar urusan anda dipermudahkan. Aminn.
Tip Tambahan
Benda yang paling penting sekali ialah berbincang dengan bakal pasangan dan keluarga dia. Berbincang boleh menyenangkan banyak urusan kita. Aku bagi contoh, kalau keluarga bakal pasangan anda minta hantaran RM20,000 tapi anda tak mampu.
Langkah yang pertama bukan luah rasa tak puas hati di WhatsAspp atau Insta Story anda. Itu tidak akan membantu. Bincang dengan mereka berapa yang anda mampu. Runding elok-elok, jaga bahasa, jaga hati org tua. Kalau anda boleh hormat mereka, Insya-Allah mereka akan faham.
Jangan lupa untuk subscribe YouTube Channel aku, youtube.com/c/LuqmanAfifi kat situ ada banyak lagi video, tips, cara-cara dan ulasan, sebab itu adalah salah satu sumber pendapatan aku sekarang. Terima kasih pada yang beri sokongan!
Kredit Gambar: Luqman Afifi Twitter @EhAfifii
Perkongsian ini dikongsi oleh Luqman Afifi yang menggunakan akaun Twitter @EhAfifii dan mendapat 15 ribu Retweet. Beberapa perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]
Must-Watch Video