Laman Utama

#GempakSpot: Temasya Olimpik & Paralimpik Tokyo 2020, Bila Wira Keyboard Yang Sempurna Lebih Cacat Dari OKU

gempak
Maliah Surip
05/09/2021
03:49 MYT
Sponsor Banner
#GempakSpot: Temasya Olimpik & Paralimpik Tokyo 2020, Bila Wira Keyboard Yang Sempurna Lebih Cacat Dari OKU
Saya seorang rakyat Malaysia, saya juga masuk dalam kelompok netizen sebab menggunakan media sosial sehari hari.
Tapi hal yang menyedihkan saya sebagai seorang rakyat Malaysia dan juga netizen adalah sikap tidak matang, buru buru dan 'cacat' segerombolan pengguna media sosial yang menyerang media sosial seseorang hanya untuk memuaskan nafsu atau menunjukkan lambang bersatu padu dengan cara yang memalukan.
Ya, saya bercakap mengenai tindakan segerombolan netizen yang menyerang atlet Ukraine, Maksym Koval, iaitu pemenang emas acara lontar peluru F20.
Serangan dengan kata kata kurang sopan termasuk ada yang tergamak mengeluarkan perkataan cacat kepada Maksym sebagai rasa tidak berpuas hati mengenai keputusan yang tidak menyebelahi Muhammad Ziyad Zolkefli untuk membawa pulang emas ke Malaysia adalah sesuatu yang cukup menyedihkan.
Imbas kembali, kem Ukraine melakukan bantahan kerana Ziyad lewat memasuki bilik menunggu (call room). Hal itu menyebabkan Ziyad tidak dapat mempertahankan emas acara itu, walaupun berjaya melakukan lontaran rekod dunia dengan catatan 17.94m.
Bukan sahaja akaun media sosial Maksym kena hacked, dan atlet tersebut bingung setelah dihujani dengan pelbagai kata hinaan, insiden tersebut kemudian tidak lagi membabitkan serang psikologi netizen Malaysia terhadap kontinjen Ukraine, tetapi telah menyangkut pautkan integriti dan profesional kesukanan kem negara kita.
Pada akhirnya, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin mengemukakan permohonan maaf kepada Ukraine atas insiden kecaman terhadap Maksym Koval.
Permohonan maaf itu dilakukan sebagai mewakili seluruh rakyat Malaysia ketika pertemuan dengan CDM Ukraine Olena Zaitseva, yang juga Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Ukraine di sini, pada Sabtu.
Beliau juga terpaksa back up sikap kurang sopan rakyat Malaysia yang menghina atlet Ukraine antaranya dengan alasan kita terlalu kecewa apabila kemenangan Ziyad dinafikan apalagi emas yang didambakan itu sepatutnya menjadi milik negara yang menyambut Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos lepas.
Serius, secara peribadi saya melihat insiden ini sangat memalukan negara. Seorang yang sempurna sifat dan akal fikiran boleh menjadi lebih kurang upaya daripada golongan istimewa ini apabila gagal mengawal amarah dan sikap 'mari berjemaah hangatkan sesebuah isu'.
Sementelah, sepanjang temasya sukan berprestij ini sudah terjadi dua kali insiden netizen kita buat hal.
Masih ingat bagaimana akaun media sosial pelumba Great Britain, Jack Carlin diserang netizen selepas didakwa dengan sengaja menyebabkan pelumba basikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terjatuh pada saringan kedua acara keirin di Tokyo 2020, Ogos lalu?
Walaupun masih ada segelintir netizen yang meninggalkan komen berlapik, namun banyak yang memaki hamun atlet tersebut sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli sukan sendiri yang melihat hilangnya moral dan semangat kesukanan yang ditunjukkan rakyat kita.
Shah sendiri meminta peminat sukan memahami erti adat pertandingan, sementara Carlin bukan sahaja bertindak menutup ruangan komen kerana terkejut diserang, tetapi turut meminta maaf atas kejadian yang berlaku.
Guys, ini hanya sukan. Dalam sesebuah pertandingan pasti ada yang menang atau kalah. Itu adat. Terjadinya insiden tak diingini atau secara sengaja direncana juga misalnya, bukan tiket untuk kita kelihatan kurang adab.
Olimpik Tokyo 2020 dan Paralimpik Tokyo 2020. Dua temasya ini, dua kali juga ada segerombolan netizen yang berasa mereka sempurna, automatik menjadi OKU bila gagal mengawal perasaan.
Come on, jangan malukan diri, jangan malukan keluarga dan jagalah nama baik negara.
Walaupun bukan semua rakyat Malaysia bersikap sebegini, malah cukup banyak yang mengutuk tindakan kurang bermoral ini, dunia memerhati kita.
Meski demikian, saya harus memuji sikap netizen yang tak henti henti mengucapkan terima kasih dan tahniah buat atlet Greece, Athanasios Prodromou sewaktu membantu Latif Romly yang dalam kesakitan semasa pertandingan lompat jauh berlangsung.
Sikap terpuji rakyat Malaysia ini malah dibanggakan oleh atlet yang membawa pulang perak dengan catatan 7.17 di belakang Latif (emas) apabila berkongsi momen momen manis dan menjadi topik di negara kita lewat perkongsian di Insta Story dalam akaun media sosial rasminya.
Jadilah rakyat Malaysia yang berhemah. Yang ada intelektual. Yang ada budi bahasa yang baik sehingga dunia akan menghormati kita.
Pandangan dan pendapat penulis adalah karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke GempakSpot.
Kredit Foto: Majlis Sukan Negara, Yonhap News Instagram: @astroarenahd, @thanasis__prodromou
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live