Berita
#GempakTop2020: Tok Ti, Haqiem, TWICE Antara Artis Sukses Tahun Ini
Tahun 2020 sememangnya merupakan satu tahun yang cukup mencabar buat kita semua. Mana tidaknya, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh pelusuk dunia membuatkan ramai yang terkesan, termasuklah kepada penggiat industri hiburan.
Bukan sahaja kepada dunia seni tempatan, bahkan juga dipersada seni antarabangsa.
Begitupun, di sebalik dugaan yang menimpa kita semua, anak-anak seni masih tetap cekal meneruskan misi mereka dalam menghiburkan umum.
Lebih membanggakan apabila kejayaan demi kejayaan juga mampu diraih membolehkan mereka dilabel antara selebriti yang cukup sukses bagi 2020.
Sempena minggu akhir sebelum 2020 melabuhkan tirainya, apa kata jom kita tengok senarai 10 Artis Sukses 2020 Pilihan Gempak:
#1 Datuk Seri Siti Nurhaliza
Ternyata penyanyi nombor satu negara ini merupakan penghibur sepanjang zaman. Satu demi satu pencapaian membanggakan yang diraih bintang berusia 41 tahun ini.
Album ManifestaSITI2020 habis terjual hanya selepas sehari pra-tempahan bagi keluaran pertama dibuka kepada umum.
Bahkan, album studio ke-18 itu merupakan buah tangan Siti selepas kali terakhir muncul pada 2017 menerusi SimetriSiti.
Penjualan lebih 5,000 unit album fizikal itu juga melayakkan dirinya menerima Anugerah Emas daripada Universal Music Sdn. Bhd.
Bukan itu sahaja, Siti juga tersenarai antara 100 artis di Asia Pasifik yang mempunyai pengaruh yang cukup kuat disenaraikan oleh Forbes ekoran usahanya dalam membantu golongan peniaga ketika pandemik.
Terkini, penyanyi yang bakal melahirkan anak keduanya tahun depan itu juga mencipta sejarah tersendiri apabila namanya bakal diabadikan di Walk of Fame, Adelaide, Australia.
#2 Haqiem Rusli
Tahun ini boleh dikatakan tahun tuah untuk penyanyi Haqiem Rusly apabila dinobatkan sebagai artis yang mempunyai paling ramai sokongan dalam kalangan pencinta industri muzik tanah air.
Buktinya, Haqiem yang mengungguli Artis Top Top MeleTOP di Anugerah MeleTOP 2020 selain memenangi dua kategori lain termausklah Penyanyi MeleTOP dan Lagu MeleTOP.
Bukan itu sahaja penyanyi berusia 22 tahun itu turut diangkat sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP ke-33) selepas berjaya meraih lebih 22 juta undian.
#3 Neelofa
Pada tahun ini, Neelofa disenaraikan sebagai 100 Selebriti Paling Berpengaruh oleh Forbes.
Penyenaraian itu diterima selepas pernah berada dalam Forbes 30 Under 20 Asia 2017 ekoran pencapaiannya dalam dunia perniagaan.
Bahkan, setakat ini, artis berusia 31 tahun yang mula mengenakan niqab itu merupakan artis tempatan dengan jumlah pengikut paling ramai di Instagram iaitu sebanyak 8.3 juta.
Bakal mendirikan rumah tangga, Neelofa juga mencipta pencapaian tersendiri apabila menjadi wanita berhijab pertama yang dilantik sebagai duta bagi sebuah produk kosmetik antarabangsa.
#4 Shuib
Selain sibuk dengan kerjayanya sebagai penghibur, Shuib juga dilihat semakin galak menjalankan perniagaan francais produk minuman Bubble Bee miliknya.
Bahkan suami kepada penyanyi Siti Sarah itu juga pernah mensasarkan sebanyak 100 cawangan dibuka pada tahun ini.
Sambutan yang diterima dalam kalangan pengikutnya setiap kali satu cawangan baru dibuka juga cukup luar biasa.
Bukan itu sahaja, beberapa rakan artis juga turut menjalankan bisnes francais tersebut termasuklah pelakon Sharnaaz Ahmad.
Biarpun bisnes yang diusahakannya itu pernah terpalit dengan isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penggubahan wang haram, namun, ternyata, insiden itu membuatkan perniagaannya terus maju.
#5 Elly Mazlein
Daripada Elly Mazlein kepada 'Kak Lina', penjenamaan semula namanya itu ternyata membawa tuah buat dirinya pada tahun ini.
Barangkali tuah selepas berkahwin selepas menamatkan zaman janda, nama Kak Lina boleh dikatakan ada di mana-mana sahaja. Bahkan, wajahnya turut menghiasi banyak program hiburan di kaca televisyen.
Dikenali dengan wataknya sebagai Mona dalam program drama popular Kampung People, Kak Lina juga mencipta fenomena tersendiri dengan tagline 'Haa Masukkk' apabila berjaya mempopularkan semula lagu Empat Dara.
Sehingga kini, tontonan muzik video lagu tersebut juga sudah mencecah lebih 7 juta tontonan sejak diterbitkan pada bulan lalu.
#6 Iman Troye
Barangkali tidak keterlaluan jika mengatakan pendatang baharu, Iman Troye ini antara penyanyi sensasi baru untuk 2020.
Popular dengan lagu Teman yang kini sudah mencecah lebih 15 juta tontonan di YouTube menerusi muzik videonya, ternyata pemilik nama sebenar Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin ini punya pengikutnya tersendiri.
Lagu ciptaan Ezra Kong itu juga berjaya berada antara carta teratas memintas lagu-lagu penyanyi lama.
Bahkan, Teman juga pernah berada di kedudukan Top 10 Lagu Paling Banyak Pestreaman di Carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan berada di tempat kedua Spotify Malaysia Top 20.
Bukan itu sahaja, tarian dalam muzik video penyanyi yang menginjak usia genap 18 tahun esok ini juga turut menjadi ikutan dan disensasikan dalam kalangan pengguna TikTok.
#7 Luna Maya
Kejayaan penyanyi Luna Maya ini dalam dunia seni dan perniagaan ternyata tidak dapat disangkal lagi.
Bukan sahaja pada tahun ini, menerusi laporan media Indonesia, Luna disenaraikan antara artis yang menerima bayaran termahal di republik itu.
Bintang berusia 37 tahun ini dilaporkan penah menerima bayaran mencecah Rp250 juta (RM71,614) bagi satu episod. Memang cukup lumayan!
Bahkan, Oktober lalu, cincin yang dipakai bekas kekasih Ariel NOAH itu juga pernah mencuri perhatian netizen apabila dikatakan bernilai RM850,000.
Begitupun, Luna pernah mengakui pernah mempunyai wang Rp89,000 (RM25) di dalam akaun banknya.
Apapun, sumber kekayaan pendapatan yang diraih Luna bukan sahaja menerusi dunia seni, bahkan termasuk pelbagai perniagaan yang diusahakannya.
#8 BTS
Penangan cukup luar biasa daripada BTS apabila kumpulan K-Pop yang dianggotai tuju anak muda itu berjaya merangkul pelbagai anugerah sepanjang tahun ini.
Buat tiga tahun berturut-turut, sekali lagi pada tahun ini BTS yang dibarisi RM, Jin, SUGA, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook itu berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai pemegang anugerah Artist of The Year di The Fact Music Awards.
Bukan itu sahaja, kumpulan yang mempunyai 35.2 juta pengikut di Instagram itu juga merangkul empat anugerah termasuk kategori utama Lagu Terbaik dan Kumpulan Terbaik di Anugerah Muzik Eropah MTV 2020 (MTV EMA 2020).
Bahkan, sejak September sehingga Disember, lagu BTS juga berjaya berada kekal di tangga teratas Carta Billboard Hot 100 selain turut dinobatkan sebagai Entertainer of The Year oleh majalah TIME.
#9 TWICE
Kumpulan K-Pop yang dibarisi sembilan wanita cantik ini dinobatkan sebagai penerima Artist of The Year di 2020 Asia Artist Awards (2020 AAA).
Muncul dengan album Eyes Wide Open pada Oktober, populariti kumpulan yang dianggotai oleh Chaeyoung, Mina, Jihyo, Jeongyeon, Nayeon, Tzuyu, Momo, Sana dan Dahyun itu turut merangkul Artis Paling Popular di Mnet Asian Music Awards (MAMA) pada tahun ini.
Bukan itu sahaja, TWICE turut merangkul tiga kategori di Japan Gold Disc Awards ke-34 termasuklah Album Terbaik Sepanjang Tahun (Asia).
#10 Dwayne Johnson
Pelakon The Rock ini tersenarai sebagai artis paling tinggi menerima bayaran di Hollywood oleh Forbes.
Pelakon berusia 48 tahun ini dilaporkan memperoleh pendapatan $87.5juta (RM355 juta) yang mana $23.5 juta (RM95.4 juta) daripadanya merupakan hasil daripada filem Red Notice yang ditayangkan di Netflix.
Bukan sahaja kejayaan dalam dunia lakonan, Johnson turut mencapai kejayaannya sendiri dengan perniagaan jenama bajunya, Project Rock.
Bahkan, Johnson juga menerima Anugerah Pelakon Filem Favourite di Kid's Choice Awards 2020 menerusi pembabitannya dalam Fast & Furious Presents: Hobs & Shaw dan Jumanji: The Next Level.
Dalam pada itu, jangan lupa untuk sama-sama mengundi artis kesayangan korang yang tercalon dalam Gempak Most Wanted di sini.
Undian akan ditutup pada 28 Disember, jam 6 petang. Jadi tunggu apa lagi? Jom undi!
Must-Watch Video