Viral
#GempakTravel: Abang Sado Jual Ikan RM1 Sekilogram Tarikan Baru Di Kuala Selangor!
Kuala Selangor, lokasi yang kaya dengan khazanah bumi dan hasil laut yang sering menjadi tumpuan warga kota untuk melepaskan lelah seketika.
Terkenal sebagai Jelapang Padi Selangor, Kuala Selangor kini punyai tarikan baharu sebagai tempat mencari ikan segar serta tangkapan laut segar yang boleh didapati serendah RM1 setiap kilogram!
Diusahakan oleh tiga kenalan rapat, kedai yang menjual ikan segar hasil tangkapan nelayan terus kepada pembeli itu dimulakan secara kecil-kecilan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) Mac lalu.
Sepakat dengan nama SNZ Pembekal Ikan Segara (Dari Laut Terus ke Rumah) milik SNZ Top Global, Pengerusinya, Norhamizah Nordin nekad meneroka bidang baharu dengan melabur membuka kedai yang diusahakan.
"Kami bermula kecil-kecilan ketika PKP, tak sangka sambutan sangat baik dan membuka mata ini peluang mencari rezeki yang baharu.
"SNZ milik penuh Bumiputera menawarkan ikan berkualiti dan segar dibekalkan daripada melayan tempatan untuk pasaran sekitar dan Lembah Klang termasuk melalui khidmat penghantaran," katanya.
Norhamizah berkata, dua tulang belakangnya selaku pemilik bersama ialah anak muda yang memulakan perniagaan ikan segar sejak PKP lalu iaitu Mohd Zulakmal Jamaludin dan Mohammad Shahrul Nizam.
Katanya, dua pemuda berkenaan memberikan keyakinan dan idea untuk mengembangkan perniagaan ikan segar itu sehingga berjaya membuka kedai pada hari ini.
"Kedua-dua mereka dan suami banyak membantu saya dan memberikan semangat untuk membuka perniagaan ini dan ia satu usaha yang mencabar namun kami sahut juga.
"Ia bukan satu proses yang mudah namun kami nekad meskipun kaum bumiputera kurang terbabit dalam bidang ini," katanya.
Dari Bonet Kereta ke Premis Perniagaan
Mengimbau pengalaman dalam perniagaan, Norhamizah berkata dia masih ingat pernah berniaga ikan melalui bonet kereta.
Katanya, dia turut mengusahakan perniagaan kosmetik, biskut dan pelbagai lagi.
"Alhamdulillah tidak sangka impian untuk memiliki kedai akhirnya dimakbulkan dan serius dalam bidang perniagaan," katanya.
RM1 Sekilogram
Sebagai menghargai sokongan pelanggan satu kempen Ikan Segar RM1 Sekilogram juga dijalankan sepanjang tempoh promosi pembukaan.
Malah, tambahnya kempen itu juga akan diteruskan secara konsep 'happy hour' yang akan dimaklumkan menerusi media sosial.
Ikan Berkualiti
Ikan yang dijual pada harga promosi itu membabitkan jenis tertentu dan terhad kepada syarat yang ditetapkan bagi memastikan semua pelanggan dapat menikmatinya.
"Kita akan tengok pada bekalan yang kami terima dan yang pasti hanya ikan segar sahaja yang kami tawarkan.
"Kami janji tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan kualiti ikan kami dan hanya terbaik dari SNZ," katanya.
Abang Sado Jual Ikan
Lebih menarik, kakitangan kedai ini juga terdiri daripada golongan 'Abang Sado' yang menjaga penampilan dan hal kesihatan.
Bagi mereka ini kelainan yang ditampilkan, iaitu apa juga pekerjaan dilakukan penampilan menjadi keutamaan dan tidak boleh diabaikan.
"Pekerja kami antaranya memang aktif di gimnasium selain mereka sendiri melakukan kerja berat menggendalikan stok ikan harian yang dibekalkan dari nelayan," katanya.
SNZ turut merancangkan melebarkan pasaran ke seluruh negara termasuk membuka cawangan di negeri lain.
Must-Watch Video