Apabila melancong ke negara bukan Islam atau majoriti penduduknya tidak beragama Islam, makanan halal menjadi persoalan utama.

Ada kalanya sukar untuk mencari makanan halal di negara-negara luar namun itu bukan penghalang untuk anda pergi meluaskan pemandangan dan pengalaman ke negara orang.

Gempak sediakan tujuh tips bagaimana mencari makanan halal untuk semua kaki travel!

1. Logo halal



Carilah restoran yang mempunyai sijil halal di premis mereka. Paling mudah, sebelum berangkat ke satu-satu destinasi, kaji dahulu lokasi komuniti Islam yang ada di negara yang dituju.

Jika ada, sudah tentu akan ada restoran yang menyediakan menu-menu halal. Malah, kebanyakan destinasi percutian kini banyak menyediakan restoran yang mesra muslim.

Jadi, tidak sukar untuk anda mencuba makanan lokal tetapi dengan sentuhan halal.

2. Restoran Timur Tengah



Carilah restoran-restoran yang menyediakan makanan timur tengah. Kebanyakan restoran tersebut menyediakan masakan yang halal kerana mereka beragama Islam.

Jika masih ragu-ragu, anda boleh bertanya sendiri kepada pengurus restoran sebelum memesan sebarang menu.

3. Makanan laut



Jika masih belum bertemu dengan mana-mana restoran halal sedangkan perut telah berkeroncong, anda boleh memesan makanan laut seperti ikan, udang, ketam dan sebagainya.

Namun, anda masih perlu berhati-hati agar tiada penggunakan alkohol, wain atau lemak haiwan terlarang yang diletakkan dalam masakan.

4. Bawa bekalan makanan dari Malaysia



Inilah cara paling jimat dan diyakini halal. Bawalah beberapa pek makanan dari Malaysia seperti pes sambal, rempah masakan, sardin atau tuna dalam tin, mi segera, kekacang, oat, bar coklat tenaga untuk anda bertahan sepanjang berada di luar negara.

Untuk masak sendiri makanan anda, menginaplah di kediaman pangsapuri untuk kemudahan dapur dan kelengkapan memasak.

5. Go for veggies!



Anda juga boleh memilih makanan berasaskan sayuran yang dirasakan tidak mengandungi alkohol atau sebarang lemak haiwan terlarang.

Jika tidak pasti, anda boleh bertanya pada pelayan restoran untuk memberi ulasan atau cadangan makanan. Anda juga boleh guna acara paling mudah, beli sayuran di pasaraya dan buat salad sendiri.

6. Istilah khinzir



Pelajari bahasa-bahasa lain atau istilah nama bagi daging khinzir yang digunakan dalam menu makanan di negara yang bahasa Inggeris bukan bahasa pertamanya.

Ia memudahkan anda untuk memilih restoran dan menu hidangan supaya tidak ragu-ragu.

7. Masak sendiri



Selain masak sendiri bekalan yang dibawa dari Malaysia, anda juga boleh pergi ke pasar tempatan untuk membeli bahan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, roti, madu, keju dan sebagainya untuk dinikmati.

Jika terjumpa kedai yang menyediakan daging halal, lagi seronok. Kebanyakan negara yang mempunyai komuniti Islam yang ramai, ada menyediakan bahagian daging halal untuk penduduknya.