Laman Utama

Girls' Generation Kenang Pakai Busana Pentas 2 Hari & Peminat Dari Golongan Mak Mak

gempak
Maliah Surip
02/09/2021
14:20 MYT
Sponsor Banner
Girls' Generation Kenang Pakai Busana Pentas 2 Hari & Peminat Dari Golongan Mak Mak
Buat pertama kalinya selepas empat tahun, grup KPop Girls’ Generation muncul dengan anggota penuh di televisyen.
Mereka yang terdiri daripada Yuri, YoonA, Sooyoung, Tiffany, Seohyun, Sunny, Yoo Jae Suk dan Hyoyeon menjadi tetamu dalam episod pertama program You Quiz on the Block yang ditayangkan di tvN, semalam.
Kemunculan mereka membuahkan rasa teruja dalam kalangan peminat, apalagi ulang tahun ke 15 Girl's Generation akan menjelang tahun depan selepas ditubuhkan pada 2007 silam.
Menerusi kemunculan tersebut, Sooyoung dan Tiffany mengaku mereka memujuk anggota yang lain untuk melakukan kemunculan istimewa dalam program tersebut.
"Pada mulanya saya mengatakan ulang tahun ke 15 kami akan tiba, dan memandangkan ia akan menjadi sebuah acara yang besar, apa kata kita lakukan sesuatu pada tahun ke 14 penubuhan Girls' Generation?
"Kemudian saya mendengar ada acara You Quiz, dan bersetuju untuk pergi (jadi tetamu)," ujar Yuri seperti dilaporkan Soompi.
YoonA malah mengaku malam sebelum mereka muncul di program tersebut, mereka berjanji agar tidak menangis sewaktu memperkenalkan diri sebagai Girls’ Generation.
"Mari kita cuba untuk tidak menangis," kata YoonA.
Sebagai sebuah grup senior, usia kelapan lapan wanita ini tidak lagi muda. Justeru sewaktu berbicara mengenai jurang usia dengan artis masa kini, YoonA dan Yuri mengenang beberapa momen mereka saat berbual dengan pendatang baharu di dunia K Pop.
"Apabila saya berbual dengan artis junior, mereka akan bercakap tentang beberapa variety show dan berharap mereka turut serta. Waktu itu saya berfikir 'sebenarnya saya ada dalam show yang anda katakan'.
"Pada mulanya saya seperti sedikit ingin berlagak, tetapi kemudian saya menyedari betapa lama saya sudah bekerja dalam industri ini," kata YoonA.
Yuri pula mendedahkan: "Ada penyanyi muda mengatakan kepada saya, 'ibu saya adalah peminat tegar Girls’ Generation'. Ia membuatkan saya terfikir berapakah usia kami semua?"
Dia juga mencetuskan tawa besar dalam kalangan semua ahli apabila mengatakan pernah melihat satu kemas kini di online yang mendakwa seorang ibu pernah memakai seluar jenis skinny jeans dari Gee.
"Ia sekali lagi membuat saya terfikir adakah selama itu (tua) kami?" katanya.
Yuri kemudian mengenang bagaimana jadual kerja mereka sangat padat suatu ketika dahulu.
Menurutnya mereka pernah berada di Perancis, terbang pada hari yang sama menuju Amerika Syarikat.
Hyoyeon menambah: "Kami pernah melakukan persembahan di Jepun kemudian bergegas mengambil jet peribadi pulang semula ke Korea untuk tampil dalam persembahan muzik akhir tahun.
"Kami memakai pakaian pentas yang sama hampir dua hari berturut turut."
Pengakuan itu dipersetujui Seohyun yang turut berkongsi kenangan pada zaman kegemilangan mereka.
"Pada hujung tahun biasanya kami akan terlibat dengan pelbagai program istimewa. Ada sekitar 20 buah persembahan. Itu membuatkan kami harus mempelajari koreografi baharu pada masa yang sama bersiap untuk muncul dalam persembahan seterusnya," kenang Seohyun.
Sooyoung menambah dahulu, mendengar datangnya hujung tahun adalah sebuah khabar menakutkan buatnya. Namun kini secara jujur dia mengaku berasa sunyi saat hujung tahun menjelma.
Girls' Generation juga kemudian ditanya oleh hos Jo Se Ho mengenai kemungkinan mereka membuat comeback setelah sekian lama menyepi.
Sambil tersenyum, YoonA membalas: "Kami selalu membincangkan hal ini. Kami terbuka untuk melakukannya (comeback)."
Yoo Jae Suk pula mengatakan: "Secara peribadi, memandangkan kami akan merayakan ulang tahun ke 15 pada tahun hadapan, ini adalah waktu yang sempurna untuk kami lakukan sesuatu bersama. Tahun depan, pada ulang tahun ke 15 kami."
Kredit Foto: Soompi
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live