Hollywood

Golden Globes 2025: Filem The Brutalist Mendominasi! Adrian Brody Dinobat Pelakon Lelaki Terbaik, Moore & Fernanda Torres Antara Yang Bersinar

gempak
Gempak
06/01/2025
08:38 MYT
Sponsor Banner
Golden Globes 2025: Filem The Brutalist Mendominasi! Adrian Brody Dinobat Pelakon Lelaki Terbaik, Moore & Fernanda Torres Antara Yang Bersinar
Filem epik pascaperang, The Brutalist arahan Brady Corbet, dinobatkan sebagai Filem Drama Terbaik di Anugerah Golden Globes ke-82 pada Ahad, 5 Januari, meletakkan salah satu filem paling bercita-cita tinggi tahun 2024 di landasan untuk menjadi pencabar utama di Anugerah Akademi.
Filem ini dirakam menggunakan format VistaVision dan disertakan dengan selingan, turut memenangi kategori Pengarah Terbaik untuk Corbet dan Pelakon Lelaki Terbaik untuk Adrian Brody. Filem ini mengisahkan seorang artis selepas Perang Dunia Kedua dan mempunyai banyak persamaan dengan salah satu filem Brody yang paling terkenal, The Pianist.
"Keputusan akhir sentiasa milik pengarah,” kata Corbet.
"Tiada siapa yang meminta filem berdurasi tiga setengah jam tentang seorang pereka pertengahan abad dalam format 70mm. Tetapi ia berjaya.”
Filem muzikal trans-genre Emilia Perez pula memenangi Filem Terbaik kategori Komedi atau Muzikal, memberikan penghormatan besar kepada filem arahan Jacques Audiard itu dan meningkatkan peluang Netflix untuk meraih Oscar. Ia turut memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk Zoe Saldana, Lagu Terbaik (El Mal), dan Filem Bahasa Asing Terbaik. Pengarah Perancis Audiard, melalui seorang jurubahasa, menyatakan harapannya agar filem itu menjadi "suluh cahaya” dalam masa yang gelap.
"Saya tidak mempunyai saudara perempuan dan mungkin sebab itu saya menghasilkan filem ini tentang hubungan persaudaraan.
"Jika dunia ini mempunyai lebih ramai saudara perempuan, mungkin ia akan menjadi tempat yang lebih baik,” kata Audiard.
Pemenang utama malam itu bagi kategori pelakon menghadirkan beberapa kejutan. Salah satu kejutan terbesar adalah kemenangan Moore untuk Pelakon Wanita Terbaik dalam kategori Komedi atau Muzikal.
Penampilan semula Moore dalam filem The Substance, yang mengisahkan seorang bintang Hollywood yang menggunakan proses eksperimen untuk mendapatkan kembali keremajaan, telah memberikan kemenangan pertamanya di Golden Globes pada usia 62 tahun. Moore berjaya menewaskan Mikey Madison dari filem Anora, yang menjadi calon pilihan utama.
“Saya masih terkejut sekarang. Saya sudah lama dalam industri ini, lebih 45 tahun, dan ini adalah anugerah pertama yang saya menangi sebagai pelakon,” kata Moore, yang kali terakhir dicalonkan oleh Golden Globes pada tahun 1991 untuk filem Ghost.
“30 tahun lalu, seorang penerbit pernah mengatakan saya hanyalah seorang pelakon filem ringan,” kata Moore.
Kemenangan bagi Pelakon Wanita Terbaik kategori Filem Drama juga mengejutkan. Pelakon Brazil, Fernanda Torres, memenangi anugerah tersebut melalui persembahannya dalam filem I’m Still Here, sebuah drama berdasarkan kisah benar tentang sebuah keluarga yang berdepan kehilangan ahli keluarga akibat penganiayaan politik di Rio de Janeiro pada tahun 1970-an.
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik kategori Muzikal atau Komedi diberikan kepada Sebastian Stan untuk filem A Different Man, yang mengisahkan seorang lelaki dengan wajah cacat yang akhirnya pulih. Stan, yang turut dicalonkan kerana lakonannya sebagai Donald Trump dalam The Apprentice, menyatakan bahawa kedua-dua filem tersebut sukar untuk dihasilkan.
“Topik ini berat, tetapi filem-filem ini adalah realiti dan sangat diperlukan.
“Kita tidak boleh takut dan berpaling,” kata Stan.
Pelawak Nikki Glaser membuka Golden Globes dengan janji: “Saya tidak di sini untuk menyindir kamu.”
Namun, Glaser, yang dikenali menerusi komedi sindiran yang tajam, tetap mencipta banyak momen humor dalam monolog pembukaannya, meskipun tidak mencapai tahap jenaka Tina Fey dan Amy Poehler.
Tahun lalu, Golden Globes mendapat kritikan hebat akibat skandal etika dan kepelbagaian yang menyebabkan pembubaran Hollywood Foreign Press Association (HFPA).
Walau bagaimanapun, acara tersebut berjaya menarik semula perhatian, dengan jumlah tontonan meningkat kepada 10 juta menurut Nielsen. CBS telah bersetuju untuk meneruskan acara itu selama lima tahun lagi selepas NBC tidak lagi menyiarkannya.
Filem Wicked arahan Jon M. Chu memenangi anugerah pencapaian sinematik dan box office, mengutip hampir USD700 juta (RM3.1 bilion) di panggung wayang. Ketika menerima anugerah tersebut, Chu menyeru agar seni filem mampu menjadi ‘tindakan radikal optimisme’ untuk pengiat seni.
Beberapa pemenang lain termasuk Kieran Culkin yang memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk persembahannya dalam A Real Pain, dan filem Conclave yang memenangi Skrip Terbaik. Filem animasi Flow, parabel tanpa dialog dari Latvia tentang kucing di dunia yang dilanda banjir, memenangi Filem Animasi Terbaik, mengalahkan filem seperti Inside Out 2.

BERITA TRENDING: Gegar Vaganza 11 RECAP: Tok Ram Bagi Liza Aziz Markah Tinggi, Fairuz Selamat Berjaya Kekal, Semak Komen & Markah Minggu Ketujuh

BERITA TRENDING: Pamela Anderson Hadir Tanpa Solekan Di Golden Globes 2025: “Tiada Tim Glam…”

BERITA TRENDING: Pernah Dikecam Teruk Upload Gambar Dengan Fattah Amin, Wanna Ali Lebih Hati-Hati - "Sejak Itu, Saya Sedar Perlu Lebih Peka ..."

BERITA TRENDING: Mekah Tempat Beribadah, Bukan Bulan Madu - "Boleh Buat Pakej Tapi ..."

Bagi kategori televisyen, pemenang utama termasuk Shogun yang meraih empat anugerah, termasuk Siri Drama Terbaik. Siri Hacks dan The Bear juga membawa pulang anugerah, sementara Ali Wong dan Colin Farrell menerima pengiktirafan untuk persembahan mereka.
Farrell, yang memenangi anugerah dengan membawa watak dalam The Penguin, berseloroh, “Saya rasa, selepas ini hanya prostetik yang saya perlukan.”
Sumber: The Star , The Hollywood Reporters
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024