Penyanyi popular Hollywood, Taylor Swift mencatat rekod apabila menjadi penyanyi wanita pertama yang memenangi kategori album tahunan (album of the year) dalam Anugerah Grammy sebanyak tiga kali.

Memetik laporan Variety, kemenangan ketiga Taylor adalah menerusi album Folklore dalam Anugerah Grammy ke-63 yang berlangsung pagi tadi.

Sebelum ini, Taylor telah memenangi kategori tersebut untuk album Fearless pada 2010 dan album kelimanya, 1989 pada 2016.

Penyanyi yang pernah memenangi kategori itu sebanyak tiga kali sebelum ini adalah Frank Sinatra, Paul Simon dan Stevie Wonder, semuanya lelaki.

Difahamkan, Folklore telah menumpaskan album daripada bintang terkenal lain antaranya Dua Lipa, Post Malone dan Coldplay.

Album tersebut dirakam dan dilancarkan ketika kuarantin ekoran pandemik COVID-19 tahun lalu.

Proses pelancaran itu dibantu oleh produser dan penulis bersama, Aaron Dessner dan Jack Antonoff.

Kredit Foto : NME