HIBURAN
Guna 90 Peratus Pelakon Anak Jati Sarawak, Raya Emas: Salako Sacred Treasure Sasar Kutip 2 Juta
Filem fiksyen Raya Emas: Salako Sacred Treasure bukan sekadar tontonan biasa, sebaliknya berjaya mengetengahkan keindahan lanskap Sarawak serta memperlihatkan kehidupan tradisional masyarakat di bumi Kenyalang.
Menurut penerbit eksekutif, Winson Voon, filem ini bukan sahaja menampilkan sinematografi yang memukau, tetapi juga memperkenalkan budaya dan warisan masyarakat Salako di Sarawak.
“Pada masa yang sama, saya ingin menyatakan penghargaan yang mendalam terhadap sokongan pihak Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, menekankan peranan penting kementerian dalam merealisasikan projek ini.
“Malah, pihak kementerian juga menekankan potensi filem ini untuk menarik pelancong antarabangsa dengan mempamerkan tarikan unik Sarawak kepada tontonan global.
“Malah 90 peratus pelakon dalam filem ini juga adalah anak jati Sarawak yang berfungsi sebagai platform kuat untuk mempamerkan bakat tempatan dan memperkukuhkan industri filem tempatan.” katanya kepada Gempak.
Usaha sama ini berpotensi menjadikan Sarawak sebagai destinasi utama pengeluaran filem antarabangsa sekali gus memperkukuh sektor pelancongan.
Filem tersebut mengisahkan tentang Zul, seorang bapa yang terdesak, Ansamah seorang anak angkat yang berusaha membuktikan nilainya sebagai penjaga pelindung Salako, Raya Emas; dan sekumpulan penjelajah muda yang diketuai oleh Diana, seorang gadis dengan kebolehan meramal yang luar biasa.
Menurut Winson, penggambaran filem ini menempatkan sebanyak 80 peratus rakaman yang memukau di landskap indah di Lundu, Sarawak, yang membawa penonton ke dalam hati hutan hujan Borneo.
Ujarnya, filem tersebut yang menampilkan kebanyakan pelakon dari Sarawak, berfungsi sebagai platform yang kuat untuk mempamerkan bakat tempatan dan memperkukuhkan industri filem tempatan.
“Walaupun jalan cerita filem ini tentang ‘Raya Emas’ iaitu sejenis bunga emas dengan kuasa penyembuhan luar biasa adalah kisah fiksyen, filem ini menggambarkan autentik budaya dan tradisi masyarakat Salako yang memberikan pandangan unik kepada Sarawak yang kaya dengan pelbagai warisan.
“Dengan menyokong filem seperti ini, kita bersama-sama melabur dalam masa depan pelancongan Sarawak dan memupuk pertumbuhan ekonomi dalam negeri ini.
“Filem ini bertujuan untuk meletakkan Sarawak sebagai pilihan utama untuk pengeluaran filem dan destinasi wajib dilawati bagi para pelancong di seluruh dunia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Winson berharap filem berkenaan mampu meraih kutipan RM 2 juta.
Filem itu menampilkan Ahirine Ahirudin, Winson Voon dan Dunstun Luther Junior sebagai pelakon utama yang turut dibintangi Melissa Francis, Marc Benjamin, Wahab Daszz Hairaf, Willy Alfred Ting dan Daniel Ackeem.
Menggabungkan elemen pengembaraan, mistik, dan keindahan alam Sarawak, filem ini dijangka akan menemui peminat pada 3 April depan di 20 pawagam termasuk di Sabah dan Sarawak.
Must-Watch Video