Hiburan
Guna Elemen Persembahan Penuh Aksi Lasak & Berisiko, Konsert Sulung Drama Band ‘The Hardest Malam Drama’ Cipta Sejarah!
Setelah 14 tahun Drama Band berkecimpung di dalam industri hiburan tanah air, kumpulan itu akhirnya mengadakan konsert sulung mereka, yang diberi nama ‘The Hardest Malam Drama’ pada Sabtu lalu.
Konsert Drama Band yang diadakan di di Zepp, Kuala Lumpur dibanjiri hampir 2000 peminat mereka.
Konsert ini juga turut diinspirasikan dari persembahan unik Aepul Roza di program realiti The Hardest Singing Show.
Persediaan konsert yang mengambil masa kurang dari dua bulan itu dianggap sebagai ‘kerja gila’ dari Drama Band, juga menjadi bukti semangat dan komitmen yang diberikan setiap dari mereka.
Konsert ‘The Hardest Malam Drama’ yang berdurasi empat jam itu, diserikan dengan persembahan pembukaan oleh Sharul Kamal, Yus Zainal, Tekki Band dan Madam Band.
Drama Band telah mempersembahkan 23 buah lagu (tiga segmen), dan turut menampilkan artis duet jemputan iaitu Leez Rosli, Putera Muhammad dan anak didik Aepul Roza di The Chosen One musim ke-2, Kiki Fateeha.
“Konsert sulung Drama Band ini merupakan mimpi kami yang berjaya menjadi kenyataan, setelah 14 tahun usia Drama Band.
“Sangat teruja, konsert kami ‘full house’! Dan kita berjaya realisasikan persembahan sebuah band dengan banyak elemen aksi lasak dalam satu konsert.
“Kami bersyukur, gembira dan puas dengan maklum balas yang positif dari semua,” ujar Aepul.
Tidak dapat dinafikan, Drama Band telah berjaya menampilkan persembahan yang penuh bertenaga sepanjang konsert, ditambah lagi dengan elemen persembahan yang penuh aksi lasak serta berisiko yang dilakukan oleh Aepul Roza bersama para penari professional dari Zyhy Production.
Antara aksi ‘stunt’ yang memukau penonton adalah aksi lompatan tinggi, bermain trampolin, memiijak serpihan kaca, mengimbangkan badan di atas papan luncur dan bermain drum ‘hydraulic’ yang paling ditunggu-tunggu oleh penonton.
Persembahan Drama Band mendapat sorakan hebat dari awal konsert sehingga penghujungnya.
Kejayaan konsert sulung Drama Band ini telah membuktikan bahawa mereka masih mendapat sambutan serta sokongan yang padu dari para penggemar muzik di Malaysia.
Drama Band dianggotai oleh Aepul Roza (vokalis), Daus (gitar bes), Adib (gItaris), Padel (gitaris), Syahmir (pemain keyboard) dan Faeez (pemain drum)
Must-Watch Video