Laman Utama
GV9: “Saya Seorang Yang Agak Private” - Hazrul Nizam Dedah Status Sebenarnya, Lebih Selesa Peminat Ambil Tahu Tentang Nyanyian
“Saya belum pernah kahwin dan masih solo!” demikian pengakuan peserta Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9), Hazrul Nizam berhubung statusnya.
Bagaimanapun Hazrul memberitahu dia lebih selesa sekiranya peminat hanya memberi tumpuan kepada nyanyiannya berbanding kisah peribadi.
Menurut penyanyi berusia 42 tahun ini, dia terbuka jika peminat ingin mengetahui hal berkaitan peribadinya namun berharap ia tidak melibatkan keluarganya.
“Saya lebih selesa orang fokus pada kualiti nyanyian saya berbanding kisah peribadi. Sebab saya ini seorang yang agak private.
“Tak terlalu terbuka untuk kongsi fasal peribadi atau apa sahaja berkaitan dengan keluarga saya. Biarlah saya saja yang ke hadapan, keluarga hanya menyokong dari belakang.
“Tapi saya terbuka saja untuk menjawab soalan peribadi selagi ia tidak melibatkan ahli keluarga saya,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Hazrul memberitahu dia tidak pernah berasa tertekan dalam soal jodoh kerana keutamaannya lebih kepada dua ekor kucing kesayangan.
Kata Hazrul, dia bersyukur kucing-kucing perliharaannya yang berada di Singapura dijaga oleh pembantu rumah jirannya.
“Saya tak rasa tertekan pun soal jodoh… tapi tekanan itu lebih kepada kucing-kucing saya. Bila saya dekat sini (KL), saya akan terfikir keadaan dua ekor kucing saya di rumah.
“Tapi nasib baik ada pembantu rumah jiran saya yang tawarkan diri untuk bantu uruskan kucing-kucing saya bila saya di sini.
Hazrul masih bersaing di pentas GV9 bersama 10 orang peserta lagi iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah, Asheed, VE, Pat Candy, Tom, Dina Nadzir, Fuad Rahman, Bob Yusuf dan Tomok.
Musim terbaharu ini membawa semula hos Nabil Ahmad dan menampilkan pelakon Elly Mazlein sebagai pengacara bersama.
Kesemua peserta GV9 diadili oleh tiga orang juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Shafinaz Selamat.
Must-Watch Video