HIBURAN
Hael Husaini Ajak ALPHA Sertai Konsert Sulung - “Saya Yakin Mereka Bukan…”
Penyanyi dan komposer, Hael Husaini mengumumkan bintang Big Stage Alpha (BSA) yang baharu sahaja debut sebagai ALPHA akan bersama-sama memeriahkan konsert sulungnya iaitu "Hael Husaini & Repertoire".
Menurut pelantun lagu Jampi itu, dia memilih untuk menjemput mereka sebagai satu tanda sokongan kepada bakat baharu yang dilihat mempunyai potensi besar dalam industri muzik tempatan.
“Secara jujurnya, bagi saya apa yang saya lihat pada mereka harus diketengahkan. Walaupun pentas saya tidaklah sebesar mana, tetapi ia sedikit sebanyak mampu memberi ruang dan peluang untuk mereka berkongsi malam istimewa itu bersama saya.
“Saya memang sentiasa menyokong pendatang baharu, terutamanya yang berbakat. Kalau hala tuju mereka betul dan dibentuk dengan rapi, saya yakin mereka bukan sahaja boleh berjaya, tapi mampu mencetuskan fenomena baharu di Malaysia,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Hael atau Hal Husaini Razmi akui teruja melihat sambutan yang diterima oleh ALPHA sewaktu kemunculan mereka di Pavilion Bukit Bintang untuk Showcase BSA baru-baru ini.
“Jujur saya katakan, saya sendiri terkejut melihat sokongan orang ramai terhadap mereka. Ini menunjukkan rakyat Malaysia sedia menerima dan menyokong bintang-bintang baharu,” kongsinya.
Selain ALPHA, kumpulan yang dianggotai oleh Daniel Sher, Rizal Rashid, Ariel Fesol, Izat Ibrahim, Afiq Sky dan Ray-D juga akan berkongsi pentas bersama Dayang Nurfaizah, Nadeera Zaini, Nabila Razali, Wany Hasrita.
Terdahulu, Hael Husaini mengumumkan bakal mengadakan konsert sulungnya "Hael Husaini & Repertoire" pada 8 Ogos 2025 yang bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
BERITA BERKAITAN: Sambutan Luar Biasa, Tiket Konsert Sulung Hael Husaini & Repertoire Hampir ‘Sold Out’
BERITA BERKAITAN: Hael Husaini Terkejut Peminat Berjaya 'Bongkar' Identiti Penyanyi Jemputan - “Mereka Lebih Hebat Dari…”
BERITA BERKAITAN: Tembakan Tepat! Dayang Nurfaizah & Nadeera Zaini Bakal Gegarkan Konsert Hael Husaini & Repertoire - “Saje Tau Letak Gambar Yang Dah Berkurun”
BERITA BERKAITAN: Hadiah Buat Peminat! Hael Husaini Umum Konsert Sulung Ogos Ini - “Ia Sangat Istimewa Buat…”
Must-Watch Video