Laman Utama
Hafidz Roshdi Tepis Tuduhan Netizen Terhadap Elizad, Selalu Nampak Solat Di Set Penggambaran - "Jangan Nilai Orang Daripada Luar"
Pelakon Hafidz Roshdi, 27, tidak dapat menerima tindakan seorang netizen yang mempersoalkan ibadat solat penyampai radio dan pelakon Siti Elizad, 37, di ruangan komen sebuah portal.
Tegas Hafidz, Elizad seorang yang mementingkan solat biarpun sibuk dengan tuntutan kerja.
Katanya, pernah beberapa kali dia melihat pengacara itu mengambil wuduk dan membentangkan sejadah ketika mereka sama-sama bekerja.
"Saya nak bagi tahu benda betul yang nampak depan mata, saya tak cakap benda macam ni kalau tak nampak sendiri.
"Setiap kali penggambaran di rumah mesti nampak dia ambil wuduk, bentang sejadah. Bukan sekali nampak tapi setiap kali!" katanya kepada Gempak.
Hafidz ditemui pada sidang media Bujang Tampan Selamba yang diadakan secara maya pada Khamis.
Dalam pada itu, pelakon drama Melastik Ke Hatimu ini memohon agar orang ramai menukar persepsi terhadap individu yang tidak bertudung.
Tambahnya, tidak adil untuk menilai keperibadian seseorang itu hanya daripada luaran semata.
"Kadang-kadang kita nampak orang tidak bertudung mesti kata tak solat, jadi jangan nilai orang daripada luar," katanya lagi.
Terdahulu, Elizad bengang selepas menerima status berbaur penghinaan yang menuduhnya mandul, tidak solat dan tidak menutup aurat.
Tindakan pelaku itu telah mengundang padah apabila Elizad tampil membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil.
Elizad sebelum ini mengalami keguguran sekitar November tahun lalu selepas menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) pada Oktober tahun sama.
Untuk rekod, Elizad dan suami, Shamsul Baharin Abdul Rahman telah mendirikan rumah tangga selama lima tahun.
Must-Watch Video