Pendatang baru dalam dunia lakonan, Haidar Hasanudin gementar beraksi di samping pelakon cantik Daiyan Trisha dalam drama rantaian Tetuan Ang & Rahimin.

Membawakan watak Ashraff, tunang kepada Budi (lakonan Daiyan) dalam drama terbabit, Haidar berjaya mengatasi rasa gemuruh tersebut.

"Sebelum ini, saya pernah melibatkan diri menjadi pengacara untuk program Podcast Malam Jumaat bersama Fify Azmi dan saya menjayakan beberapa tawaran pengacaraan berskala kecil. Saya juga pernah menjadi pelakon tambahan.

"Tetuan Ang & Rahimin membuka peluang untuk saya menjayakan watak pembantu, menjadi tunang kepada karakter yang dibawakan oleh Daiyan. Pada mulanya, saya sangat gementar untuk bergandingan dengan Daiyan.

"Dia seorang pelakon yang berbakat dan cantik, tipulah kalau tak rasa gemuruh kan. Apabila melihat keramahan Daiyan di set penggambaran, rasa gusar itu beransur hilang. Dia sangat baik dan memberikan tunjuk ajar kepada pelakon baru seperti saya," katanya.

Tetuan Ang & Rahimin yang turut menampilkan lakonan Rashidi Ishak, Ben Amir, Anita Baharom dan ramai lagi ini sedang bersiaran di Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis jam 11 malam.

Serius mengatur langkah dalam industri seni, kata Haidar dia ingin mengasah bakatnya dalam bidang lakonan.

"Terima kasih kepada Rashidi Ishak kerana membuka rezeki saya untuk membintangi drama bersiri arahan Wan Hasliza dan Wan Alauddin ini. Alhamdulillah, saya anggap ia sebagai permulaan yang baik.

"Sedutan babak lakonan saya dan Daiyan juga menjadi tular di TikTok dan maklum balas yang saya terima sangat baik. Dalam perkembangan lain, saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Angah arahan Eyra Rahman.

"Dalam naskhah terbabit, saya berlakon di samping Puteri Balqis. Saya memang serius mahu menceburkan diri dalam bidang seni, terutamanya pengacaraan dan lakonan. Saya mahu buktikan kebolehan dan mahu menjadi anak seni berjaya seperti Bront Palarae dan Amerul Affendi," katanya lagi.