Selepas ‘kucing selebriti’, Hamdan Karipuley menemui ajalnya semalam, peminat haiwan comel itu mula menyatakan rasa rindu dengan keletahnya yang digelar dengan nama manja Medan.

Tinjauan Gempak di akaun media sosial Facebook Medan yang memiliki 146 ribu orang pengikut itu mula dibanjiri dengan ucapan rindu daripada peminat-peminatnya.

Rata-rata mereka mula mengimbas kembali keletah manja Medan, yang pada asalnya seekor kucing jalanan dan dijaga dengan baik pemiliknya Fadzura Fadzir, 31, sejak enam tahun lalu.

Warganet turut mengucapkan takziah kepada Fadzura dan memberikan kata-kata semangat serta pujian kerana telah menjaga Medan dengan baik.

“Be strong mak tiri sayang. Hamdan dah jumpa PenciptaNya. Hamdan....kirim salam anak-anak aunty kat sana ya. Rindu telatah Hamdan yang mencuit hati. Tak ada lagi Hamdan yang share resipi masakan,” tulis Elly Yulie

“Kami peminat Hamdan Karipuley teramat sedih dgn pemergiannya namun itulah ketentuan semua makhluk akan pulang kepad Pencipta tepat pada waktunya. Kepada mak tiri/penjaga Hamdan semoga tabah dan redha..Segala susah senang menjaga Hamdan pasti mendapat ganjarannya nanti Insha-Allah,” kata Hasanah Khalib pula.

“Tq Ham kerana menggembirakan acik. Rajin jugak Ham reply komen-komen acik dulu. Acik sayang Ham macam meow acik sendiri. Ham je satu-satunya tucing yang acik follow sebab Ham sangat special. Acik will miss u Ham,” kongsi Dila Samadhassan.

Terdahulu Fadzura berkongsi tentang kematian Hamdan di laman sosial FB dan mengesahkan kucing berusia sembilan tahun itu mati dipercayai akibat penyakit Feline Infectious Peritonitis (FIP) yang menyerangnya secara tiba-tiba pada pertengahan bulan lalu.

Selain Hamdan, Fadzura turut memelihara dua ekor kucing lagi yang diberi nama Tupai dan Kecik Woi.

Tupai bagaimanapun sudah mati pada tahun lalu selepas muntah dengan tiba-tiba dan hanya tinggal Kecik Woi yang berusia lima tahun.

Kisah Fadzura dan Hamdan pernah disiarkan di Astro Awani pada akhbar Harian Metro pada 29 September 2017.