Lagi individu ditangkap menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dilihat membolot makanan bantuan ‘food bank’ berlebihan.

Video yang tular itu menunjukkan tindakan sekumpulan individu dipercayai sebuah keluarga ‘menyapu’ hampir semua barangan ‘food bank’ yang diletakkan di rak sebuah stesen minyak.

Sikap tamak sekumpulan individu tersebut telah berjaya dirakam menerusi CCTV dan dimuat naik oleh pengguna Twitter @_NazriH.

Menerusi rakaman tersebut, kelihatan kira-kira empat individu keluar seorang demi seorang dari sebuah kereta berwarna merah yang berhenti di stesen minyak itu.

Namun, apa yang mengejutkan adalah mereka keluar dari kereta terbabit dan sama-sama ‘menyerang’ food bank yang disediakan di stesen minyak berkenaan.

Tanpa sedikit pun rasa segan, kesemua mereka mengambil setiap barang yang tersedia di situ secara berlebihan setiap seorang sehingga semua makanan hampir ‘licin’.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kecewa dengan sikap yang dipamerkan oleh kumpulan itu.