Penyanyi Marsha Milan mengakui terbayang akan sahabatnya pelakon Nad Zainal yang masih ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) sewaktu menyampaikan lagu Kembali Terang di pentas separuh akhir Muzik-Muzik 37, pada Jumaat.

Hampir menitiskan airmata, Marsha menjelaskan beberapa rangkap lirik yang ada dalam lagu tersebut seakan berkait dengan keadaan yang sedang diuji aktres berkenaan.

“Sebenarnya saya nyanyi lagu Kembali Terang tadi menang terngiang-ngiang lagu ini untuk Nad.

“Sebab saya dan beberapa rakan selebriti lain, kami dalam group Whatsapp dah janji nak jumpa tapi tak dapat pun nak berjumpa.

“Bila teringat dengan keadaan dia yang ditidurkan itu memang sedih sangat. Saya hampir nangis juga tadi di atas pentas.

“Sebabnya kalau dilihat pada lirik lagu, ada beberapa bahagian yang menyatakan rasa rindu, begitu juga saya dan rakan-rakan yang lain begitu rindu dan ternanti-nanti untuk Nanad (Nad) bangun,” ujarnya.

Marsha berkata demikian ketika ditemui usai dia melakukan persembahan menerusi lagu Kembali Terang pada hari pertama Separuh Akhir Muzik-Muzik 37 yang bersiaran langsung dari Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Dalam pada itu, anak kelahiran Sabah itu turut berkongsi semula detik sewaktu menziarahi pelakon drama Cina Buta itu di hospital pada Rabu lalu.

“Alhamdulillah, sewaktu dekat hospital masa saya datang melawat dan ramai kawan-kawan juga yang datang ziarah dan bagi semangat, kami sendiri nampak oksigen Nad naik waktu itu.

“Saya ada cakap dekat dia masa di hospital, saya beritahu dia kena kuat, ada anak-anak dan keluarga yang menunggu.

“Saya juga harap lepas Nanad bangun ada banyak perkara yang kami nak buat. Kami nak reunion ramai-ramai dan lepak,” tambahnya.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.
Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!