HIBURAN
Hampir Setahun Berhijab, Syasya Rizal Kongsi Perjalanan Hijrah - “Ia Sangat Mencabar Dan Menguji Kesabaran”
Penyanyi, Syasya Rizal, berkongsi pengalaman peribadinya dalam meniti perjalanan hijrah yang penuh cabaran, terutamanya berdepan dengan pelbagai tanggapan terhadap dirinya.
Pemilik nama sebenar Norsyasya Afiqah Shahrizal itu mengakui bahawa persepsi masyarakat pernah membuatkan dirinya goyah dan hampir berfikir untuk kembali tidak bertudung.
Namun, dia terus berusaha untuk menjadi lebih baik dari hari ke hari, menjadikan perubahan ini sebagai satu perjalanan yang bukan sekadar penampilan luaran, tetapi juga pengukuhan dalaman.
“Sejak saya pakai tudung, perjalanan itu sangat mencabar dan menguji mental.
Ianya tidak semudah yang orang nampak.
“Kadang-kadang akan terfikir, patah balik itu mungkin adalah cara yang paling mudah.
Orang ingat kita dah alim tapi tidak pun.
“Saya sama saja macam yang lain, masih mencuba untuk jadi seseorang yang lebih baik,” katanya dalam sebuah video.
Dalam pada itu, bekas ahli kumpulan Dolla itu turut menitipkan pesanan buat wanita di luar sana yang sedang dalam proses perubahan.
Menurutnya, hijrah tidak perlu dilakukan secara drastik, sebaliknya boleh dijalani secara perlahan-lahan mengikut kemampuan masing-masing. Apa yang penting, niat untuk berubah ke arah yang lebih baik perlu kekal teguh dan ikhlas.
“Untuk semua wanita di luar sana yang tengah berjuang untuk istiqamah, tidak mengapa jika perjalanan itu agak lambat dan jangan terlalu memaksa.
“Perjalanan kita semua tak sama, jadi tak perlu bandingkan dengan orang lain. Slowy but surely,” titipnya.
Untuk info, Syasya mula mengenakan hijab pada April tahun lalu selepas membuat keputusan meninggalkan kumpulan Dolla.
Must-Watch Video