BERITA
Hantar Anak Ke Sekolah Tahfiz, Along Tidak Halang Bekas Isteri Melawat
Pelawak, Along Cham akui tidak menyimpan rasa dendam dengan bekas isteriya, Zila Seeron selepas mereka disahkan bercerai pada 29 Ogos 2016.
Menurut Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 36, dia kini menjalani kehidupan seperti biasa sambil memikul tanggungjawab membesarkan anaknya Ahmad Danial, 8.
"Saya sudah lama memaafkannya dan tiada rasa sedikit dendam pun di hati saya.
"Cuma saya sudah tidak mengambil tahu mengenainya. Apa pekerjaan dia sekarang dan tempat tinggalnya pun saya tak tahu di mana.
"Bagaimanapun, bagi saya apa yang berlaku dulu tetap ada hikmahnya daripada Allah SWT dan saya pun tak sepenuhnya meletakkan salah pada dia seorang.
"Apa yang berlaku itu kerana kelemahan saya sebagai suami dia ketika itu dan ia kekurangan daripada kami berdua dalam perhubungan.
"Saya kini menjalani kehidupan seperti biasa bersama anak saya yang kini saya masukkanya ke sekolah tahfiz,” katanya kepada Gempak.
Pun begitu, Along berharap Zila memahami keadaan anaknya yang kini sedang fokus dengan pengajiannya di sekolah tahfiz di Johor.
"Saya tak pernah pun halang dia untuk bertemu anak kami. Cuma, dia kena faham sekarang Danial sudah bersekolah dan saya menghantarnya ke sekolah yang belajar tahfiz.
"Terus-terang, saya sangat menitik berat dan utamakan pendidikan anak. Jadi, kalau dia nak jumpa Danial, datang saja ke Johor," jelasnya.
Along dan Zila bercerai selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.
Dengan perceraian yang berlaku itu, Along mendapat hak penjagaan kekal anak mereka, Ahmad Danial manakala, Zila diberi hak lawatan.
Must-Watch Video