Tempoh masa pelanggan dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan kepada maksimum hanya dua jam sahaja mulai esok.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peraturan itu dibuat selari dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sektor perdagangan pengedaran yang diperketatkan, berkuat kuasa Selasa ini.

Menurut beliau, semua premis peruncitan termasuk kompleks beli-belah wajib mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter persegi.

"Pemilik perniagaan juga perlu memastikan kapasiti pekerja dihadkan bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan kompleks beli-belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan ditetapkan sebanyak 60 peratus.

“Mana-mana premis peruncitan termasuk pusat beli belah yang tersenarai bawah Sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang masih berisiko tinggi selepas penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditutup serta-merta selama tiga hari bagi tujuan sanitasi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Alexander turut menambah, waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran dihadkan antara pukul 8 pagi hingga 8 malam.

Bagaimanapun, katanya, pengecualian diberikan kepada farmasi dan penjagaan diri (kecuali yang tersenarai bawah aktiviti yang tidak dibenarkan seperti spa, pusat kesihatan (wellness) dan perkhidmatan perapian diri 'manicure' dan 'pedicure') dikekalkan antara pukul 8 pagi sehingga 10 malam.

Beliau yakin, langkah diadakan kerajaan itu yang terbaik untuk mengimbangi antara keperluan mengawal penularan COVID-19 dan kelangsungan ekonomi negara terutamanya kedudukan ekonomi domestik.

Menurutnya, bagi memastikan pematuhan SOP dilaksanakan dengan efektif, KPDNHEP juga akan menggerakkan seramai 2,262 pegawai penguat kuasa di seluruh negara bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP termasuk pekerja dan juga pelanggan.

"Pemilik premis perniagaan juga perlu sentiasa proaktif, peka dalam memastikan pematuhan SOP sentiasa berada pada tahap yang maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara.

"KPDNHEP tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada MKN untuk menutup serta merta mana-mana premis yang didapati tidak mematuhi SOP.

"Kementerian juga berharap langkah mengenakan sekatan tambahan ini akan mendapat kerjasama daripada semua pemain industri bagi memastikan hasrat kerajaan mengurangkan pergerakan orang ramai kecuali untuk tujuan penting sahaja," katanya.

Dalam pengumuman pada Sabtu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, SOP terhadap sektor ekonomi dalam pelaksanaan PKP 3.0 dengan mengenakan sekatan tambahan dan pada masa sama masih membenarkan semua sektor ekonomi beroperasi.