Pelakon Risteena Munim, 32, dan Isa Khan, 28, selamat menjadi pasangan suami isteri, pagi tadi hanya dengan sekali lafaz.

Majlis akad nikah itu telah diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya kira-kira pukul 10.40 pagi.

Menerusi Instagram Live yang dibuat di akaun Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, dia meluahkan rasa syukur selepas semuanya berjalan dengan lancar.

Risteena dan Isa memilih untuk mengenakan persalinan putih dari pereka fesyen Ezuwan Ismail.

Menerusi video yang dikongsikan juga, dapat dilihat majlis itu hanya dihadiri oleh anggota keluarga termasuklah adik Risteena iaitu pelakon, Ruhainies.

Sehingga kini, Gempak masih menantikan kenyataan rasmi daripada Risteena dan Isa.

Terdahulu, pasangan sejoli ini telah mengikat tali pertunangan pada 23 November 2019 ketika bercuti di Bali, Indonesia.

Disebabkan pandemik Covid-19, mereka terpaksa menundakan majlis perkahwinan yang sepatutnya diadakan pada 21 November tahun lalu.