Ramai di antara kita pernah mempunyai kasut dengan bau yang tidak menyenangkan, sama ada selepas memakainya untuk bersenam atau bekerja sepanjang hari.

Hal ini biasanya disebabkan oleh peluh yang berlebihan sehingga mewujudkan bakteria dan kuman yang terkumpul di permukaan kulit kaki.

Jangan risau, ada beberapa cara untuk menghilangkan bau busuk dalam kasut, yang kebanyakannya sangat berkesan. Jom semak:

Teh hitam
Teh hitam mengandungi tanin, yang berfungsi untuk membunuh bakteria terkumpul pada kasut dan membantu menghilangkan bau. Letakkan uncang teh dalam air mendidih selama 2 hingga 3 minit. Keluarkan uncang teh dan biarkan sejuk. Letakkan uncang dalam kasut anda selama sekitar sejam untuk nyahbau kasut secara semula jadi. Bersihkan baki cecair yang tertinggal pada kasut selepas proses nyahbau selesai.

Garam
Sneakers dan kasut kanvas lain boleh mengumpul bau yang kurang enak, terutamanya jika kita memakainya tanpa menyarung stoking. Hilangkan bau dan serap lembapan dengan menaburkan sedikit garam pada bahagian dalam kasut kanvas. Garam bertindak sebagai penyegar kasut semula jadi.

Minyak pati
Titiskan sedikit minyak pati ke dalam kasut anda untuk memberikan bau yang menyegarkan. Cuba gunakan minyak kayu putih, cengkih, atau minyak tea tree. Jika anda tidak mahu menyapu minyak terus pada kasut, letakkan pada sekeping kertas atau tisu dan masukkan ke dalam kasut, biarkan semalaman.

Rubbing alcohol
Tuangkan rubbing alcohol pada kasut yang kotor untuk membantu menangani masalah bau yang kurang menyenangkan. Rubbing alcohol bukan sahaja mampu mengurangkan bau dan bertindak sebagai penyahbau kasut semula jadi, tetapi ia juga akan membantu membasmi kuman pada kasut.

Bedak bayi
Menggunakan bedak bayi merupakan langkah pencegahan yang boleh diambil sebelum memakai kasut bagi mengelakkannya daripada berbau. Jika anda cenderung mempunyai kasut berbau, sapu bedak bayi pada kaki anda sebelum memakainya.

BACA: Mulut Busuk Bau Petai, Ini Cara Dapatkan Balik Nafas Segar!​

BACA: Dakwa Wanita Gemuk Berbau Busuk, Lelaki Mulut Lancang Ini Dikecam Netizen​