Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 4.25 sen seunit dan bonus 1.0 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Kadar itu meningkat 0.65 sen seunit berbanding dividen pada tahun lalu iaitu 4.6 sen seunit, merangkumi agihan pendapatan sebanyak 3.35 sen seunit dan bonus sebanyak 1.25 sen seunit.

Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM9.3 bilion tersebut memanfaatkan 10.8 juta pemegang unit ASB.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, bagi tahun ini, PNB menyaksikan peningkatan dalam bilangan akaun kepada 15.6 juta setakat Oktober 2023 berbanding 15.2 juta tahun lalu.

Katanya, populariti berterusan produk unit amanah terbukti melalui kajian daripada 2023 RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) apabila produk ASNB mengekalkan kedudukan sebagai pilihan pelaburan paling popular.

"Di sebalik keadaan pasaran yang sentiasa berubah-ubah, PNB telah secara konsisten memberikan pulangan yang kompetitif melalui dana harga tetap kami, yang kesemuanya telah mengatasi penanda aras mereka selama ini.

"Oleh itu, orang ramai digalakkan agar terus menyimpan untuk jangka masa panjang dan masa depan yang terjamin.

"Kami mengiktiraf kepentingan memperjuangkan agenda celik kewangan dan berpandukan matlamat kami iaitu untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat Malaysia, merentas generasi’.

"Kami komited untuk berkhidmat kepada pemegang unit kami dan memberikan hasil yang kompetitif," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.