Penyanyi Zizi Kirana akui selama sembilan tahun berada di dalam industri hiburan, dia pernah melalui pelbagai cabaran dan dugaan sehingga membuatkannya hampir kemurungan.

Zizi Kirana berkata sebagai anak seni, dia perlu fokus dan tidak terlalu memikirkan perkara remeh yang boleh membuatkannya putus asa.

“Tipulah saya kata selama sembilan tahun dalam industri ini saya tidak pernah melalui dugaan dan rintangan hingga hampir kemurungan.

“Tapi saya seorang yang bukan mudah putus asa kerana menyanyi adalah minat saya.

“Bagi saya, selagi ibu bapa serta keluarga saya kenal saya dan tahu apa yang saya buat, saya tidak perlu bimbang.

“Apa yang saya lakukan jika saya tertekan, saya tidak terus memikirkannya dan hanya tidur untuk cuba melupakannya,” katanya kepada Astro Gempak.

Apabila diminta mengulas mengenai Haqiem Rusli yang didakwa menggunakan isu kemurungan sebagai gimik, Zizi akui tidak wajar.

“Memang tidak patut dia buat begitu.

“Dia patut bersyukur kerana masuk sahaja dalam industri ini, lagunya terus diterima ramai dan sudah dimainkan dalam radio.

“Dia tak perlu pun kerja kuat sampai sembilan tahun untuk capai 2 juta tontonan di Youtube.

“Sepatutnya dia kena semangat dan jangan buat hati peminatnya kecewa,” katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Zizi kini muncul dengan single Terkemuka yang menampilkan dua lagi penyanyi lain iaitu Sandra dan rapper Benzooloo.

Teks oleh: Syafiqah Jalal