Jin BTS baru melancarkan koleksi baju tidur miliknya pada 1 Januari 2022 lalu.

Selain baju tidur, ia juga didatangkan bersama set sarung bantal.

Ramai peminat Jin yang teruja dengan koleksi tersebut, namun tidak kurang yang merungut kerana menyifatkan harga untuk sehelai baju tidur tersebut agak mahal.

Menurut laporan media tempatan, sehelai baju tidur Jin dijual sekitar harga RM420. Itu tidak termasuk dengan harga penghantaran.

Setelah melihat harga baju tidur yang dinilai mahal, peminat mula memberi reaksi masing masing di platform media sosial termasuk Twitter.

“Baju tidur Jin berharga lebih RM400, tambah sikit lagi boleh bayar pinjaman kereta sebulan!”tulis seorang netizen.

Ada juga netizen yang berseloroh dengan mengatakan seperti perlu menjual buah pinggang untuk mendapatkan koleksi tersebut, namun mengaku tidak akan berbuat demikian hanya demi sehelai baju tidur.

Sementara seorang netizen lain menulis: “Saya beritahu rakan, Jin mempunyai koleksi baju tidur sendiri dan harganya mahal.

“Dia bertanya semula ‘adakah Jin yang menjahitnya sendiri?”

Bagaimanapun, ada peminat yang mengaku tidak kisah membelanjakan lebih RM400 untuk memiliki koleksi baju tidur Jin.

“Dear Seokjin, baju tidur anda agak mahal. Tapi oleh kerana ia direka khas oleh kamu, maka pembelian ini berbaloi.

“Saya sanggup berjimat sebab anda adalah keutamaan saya. Dan sekarang saya makan dan minum air sahaja,” tulisnya berseloroh.

Melihat respon yang diberikan peminat, Jin membalas dengan mengaku terlibat dalam proses memilih fabrik dan mereka koleksi sulungnya itu.

Namun dia mengatakan tidak dimaklumkan mengenai harga sehelai set baju tidurnya yang disifatkan mahal oleh sebahagian peminat.

“Saya ada meminta mereka membuat baju tidur ini dari fabrik yang berkualiti namun tidak mengetahuai mengenai harganya yang tinggi (mahal). Saya juga terkejut,” kata Jin.

Selain Jin, anggota BTS yang lain juga akan muncul dengan koleksi masing masing untuk dijual kepada umum.

Kredit Foto: SCMP