Sungguhpun nama mereka tidak segah jika mahu dibandingkan dengan kugiran rock yang sedia ada di Malaysia, namun bagi band rock indie, Imagi, perkara tersebut bukanlah penghalang bagi mereka untuk terus berkarya.

Terbaharu, Imagi tampil dengan single keduanya berjudul Puteri Kayangan, hasil ciptaan anggotanya sendiri iaitu Amy Bong, Bab dan juga Haziq.

“Terlebih dahulu, syukur alhamdulillah atas kelahiran single kedua kami yang berjudul Puteri Kayangan setelah lebih setengah tahun menunggu.

“Kami menerima sambutan yang baik menerusi single pertama, Merasuk dan rata-rata peminat memberitahu yang mereka tidak sabar untuk mendengar single yang seterusnya,” kata Haziq.

Idea asal di sebalik penciptaan single Puteri Kayangan datang daripada Amy Bong sendiri bersama ahli-ahli lain yang mahukan sebuah lagu berentak rock alternatif yang moden.

“Sebagai sebuah band, kami sentiasa berbincang dan bertukar-tukar pendapat tentang apakah karya yang bakal dihasilkan seterusnya.

“Amy yang mencadangkan lagu yang berkisar tentang seorang gadis yang menjadi rebutan ramai lelaki dan kesemua mereka ingin menjadikan gadis tersebut sebagai kekasih atau isteri dalam kehidupan mereka.

“Jadi kami berenam bergabung idea secara kolektif bagi menambah perisa untuk menyedapkan lagi karya kedua ini,” ujar Fitri pula selaku vokalis dan gitaris.

Imagi terdiri daripada enam pemuzik berpengalaman tanah air iaitu Haziq Haminorddin sebagai vokalis, Fitri Johari atau Bab (vokalis/gitaris), Zulhilmi Ali atau Amy Bong (pemain keyboard), Abror Mustafa (pemain bass), Nazmi Muzaffar (gitaris utama) serta Hafidz Safar (pemain dram).

Diterbitkan oleh Rocketfuel Indie Space Station (RISS) di bawah kelolalaan label hiburan nombor satu masa kini, Rocketfuel Entertainment, lagu Puteri Kayangan boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.


Selain itu, single ini juga boleh distrim melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan juga Deezer. Manakala video muziknya pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!