Penyanyi dan pelakon, Hazama mengakui teruja apabila diberi peluang untuk melakukan aksi drifting menerusi filem terbaharu lakonannya, Marabahaya Underground.

Menurut penyanyi lagu Relakan Jiwa itu, ini merupakan kali pertama dia diberi peluang untuk mempelajari aksi berkenaan untuk dilakonkan dalam babak filem.

“Menerusi filem ni, banyak cabaran yang perlu saya lalui. Antaranya ialah belajar bagaimana mahu drift kereta.

“Dalam banyak-banyak filem yang saya lakonkan, filem Marabahaya Underground merupakan filem pertama yang memberi peluang kepada saya untuk melakukan aksi sedemikian. Nampak macam senang, tapi susah sebenarnya. Terima kasih kepada stuntman kerana sudi untuk menurunkan ilmu,” katanya.

Dalam pada itu, Hazama menambah, sesi penggambaran yang dijalankan pada bulan puasa juga memberikan sedikit cabaran kepadanya, lebih-lebih lagi terpaksa melakukan pelbagai aksi ekstrim menggunakan kereta.

“Penggambaran dijalankan pada bulan puasa. Tetapi ada kalanya keadaan hujan dan mendung. Jadi, ia sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada kami semua,” katanya lagi.

Marabahaya Underground mengisahkan tentang Chon (Hazama) peminat sukan permotoran dan sangat mengidolakan Shah Dhani (Joey Daud), iaitu seorang raja drift Malaya. Namun, Shah Dhani juga merupakan seorang yang banyak hutang dan kaki judi.

Shah Dhani menggunakan Chon untuk melepaskan dirinya daripada hutang dan berjanji untuk menjadikan Chon anak didiknya dalam dunia ‘drift’ di Malaysia. Shah Dhani yang berhutang dgn Dotty (Jasmin Suraya) terpaksa melibatkan Chon di dalam kancah pekerjaan penghantaran duit dan barang terlarang tanpa pengetahuan Chon.

Pelakon-pelakon lain yang turut menghiasi filem terbitan produksi D’edge Communication ini adalah Santesh Kumar, Dayana Roza, Scha Elinnea dan Amzarul.

Manakala bagi penampilan istimewa seperti, wajah-wajah popular seperti Wahid Senario, Hamdan Senario, Amir Raja Lawak, Zalif Sidek serta Pelumba Supercar Negara, Zen Low, Pelumba Kereta Negara, Keifli Othman, Drifter Negara, Jian Hui Wong, dan Pelumba Rally Negara, Faizal Alang turut menghiasi Marabahaya Underground.

Filem Marabahaya Underground boleh mula ditonton di saluran Astro First bermula 2 Disember ini.