Negara Jepun telah mempersembahkan rekaan pingat yang bakal digunakan untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.

Istimewanya edisi kali ini, atlet yang meraih pingat emas, perak dan gangsa akan dikalungkan dengan pingat yang dihasilkan daripada bahan dan peranti elektronik terbuang.

Idea penghasilan pingat daripada bahan kitar semula itu tercetus menerusi sumbangan jutaan telefon pintar lama dan alat digital terpakai.

Menggunakan slogan 'Be Better Together - For the Planet dan the People' bagi projek kelestarian Sukan Olimpik 2020 ini, Jepun sangat menggalakkan penyertaan rakyatnya dalam menyumbang barangan terpakai.

Sejak tahun 2017 lagi, masyarakat Jepun telah memulakan proses untuk mengumpul barangan elektronik lama.

Diberi nama projek 'Old Metals New Medals', hampir 50,000 tan alatan elektronik yang terdiri daripada komputer, konsol permainan video, kamera dan hampir 5 juta unit telefon bimbit telah dikutip untuk dijadikan pingat Sukan Olimpik 2020.

Sejumlah 2,700 kilogram gangsa berjaya diasingkan pada Jun 2018 dan pada Oktober, 3,500 kilogram perak dan sejumlah 32 kilogram emas berjaya dihasilkan menerusi projek yang diadakan sehingga 31 Mac 2019 ini.

Untuk temasya sukan berprestij kali ini, lebih kurang 5,000 pingat diperlukan kesemua acara sukan yang dipertandingkan.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan dijangka bermula pada 24 Julai hingga 9 Ogos 2020.