Umum mengetahui penyanyi dan pelakon Heliza Helmi memang cukup sinonim dengan kerja-kerja amal dan penglibatannya dengan misi kemanusiaan.

Sejak beberapa tahun lalu, Heliza dilihat kerap terlibat dengan aktiviti kelolaan badan-badan bukan kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada saudara-saudara Islam di luar negara, selain menggunakan platform media sosialnya untuk menyuntik kesedaran dalam kalangan peminat.

Melihat pada kesibukan rutinnya itu, mungkin ada bertanya adakah figura yang memulakan kerjaya menerusi program Akademi Fantasia musim kelima itu sudah berfikir untuk menamatkan zaman bujang dengan mendirikan rumah tangga, sementelah usianya kini sudah menjangkau ke angka 35 tahun.

Namun menurut Heliza, tidak tercetus rasa tertekan untuk berumah tangga sungguhpun usianya kini semakin meningkat.

“Buat masa ini, saya tidak terfikir untuk menamatkan zaman bujang. Hal ini kerana, saya mahu memberi fokus pada misi kemanusiaan bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Memang ada yang bertanya tentang soal ini (berkahwin), cuma saya bersyukur ramai yang memahami. Ibu dan bapa pun faham. Insya-Allah jika jodoh telah sampai, adalah tu,” katanya ketika ditemui Gempak pada majlis pelancaran Kempen Tabung Kemanusiaan Afghanistan di ibu kota baru-baru ini.

Dalam pada itu, Heliza menambah, dia tidak mahu memikirkan ciri-ciri bakal jodohnya dan adakah si dia perlu berkongsi minat terhadap aktiviti misi bantuan kemanusiaan yang sering diikutinya.

“Sejujurnya saya tidak mempunyai jawapan untuk itu. Matlamat saya adalah untuk memberi fokus terhadap kerja dan bantuan yang ingin saya hulurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ringkas.

Mengulas mengenai Kempen Tabung Kemanusiaan Afghanistan, Heliza melahirkan rasa teruja untuk membantu saudara seagama di negara berkenaan.

“Misi kemanusiaan ini mensasarkan kutipan RM2 juta yang memfokuskan pada bantuan kecemasan untuk menghadapi musim sejuk nanti.

"Jika diberikan peluang, dan dipermudahkan jalannya, insya-Allah saya dan adik saya ingin turut serta dalam memberikan bantuan ke sana," katanya.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!