Program masakan popular yang dikendalikan oleh pelakon Catriona Ross atau kini mesra dengan panggilan Kak Kek berjudul Kak Kek & Abe Mmasok kini bakal memasuki episod ke tujuh.

Menariknya, minggu ini jejaka jemputan yang akan menemani Kak Kek adalah juara Hero Remaja 2020 iaitu Nadhir Nasar.

Nadhir yang juga pelakon Projek: Anchor SPM telah menemani Kak Kek untuk menyediakan dua menu masakan iaitu nasi goreng dan ayam percik dalam penyediaan makanan sihat.

Dalam program yang bakal ditayangkan esok, 1 Jun di Astro Naura (saluran 109) itu, penonton boleh melihat bagaimana gelagat dan aksi Nadhir dalam membantu Kak Kek di dapur.

Lebih menghiburkan, Nadhir berasal dari negeri Perak dan Kak Kek dalam masa yang sama bercakap pekat loghat Kelantan namun gandingan serta keletah mereka dalam program itu cukup mencuit hati.

Selain memasak, Kak Kek juga turut bertanyakan banyak perkara terutama mengenai kerjaya dan peribadi Nadhir.

Apa yang mengejutkan, ketika mereka sedang menikmati masakan yang dimasak di meja makan, tiba-tiba telefon bimbit Nadhir berbunyi. Nadhir mengangkat dan menjawab “Hello baby…”.

Siapa yang menelefon Nadhir? Dengarnya dia akui panggilan itu dibuat oleh kekasihnya. Nak tahu kisah sebenar? Saksikan Kak Kek Abe Mmasok esok jam 9.00 malam di Astro Naura (saluran 109).

Kak Kek Abe Mmasok yang bakal membawakan tetamu dari jejaka yang berbeza dalam industry itu ditayangkan setiap hari Selasa, jam 9.00 malam di Astro Naura.