Semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik indie tempatan, kumpulan Here Comes July (HCJ) kian rancak mengatur kerjaya seni. Terakhir tampil dengan lagu Malam Hari, kini kumpulan ini kembali dengan lagu baru berjudul Juwita.

HCJ yang dianggotai Wan Lukman sebagai vokalis, Arfan Zainuddin (gitar utama), Adam Hariz (gitar ritma), Haziq Hashim (pemain bass), dan Irfan Ismail (dram) mengangkat kuasa wanita sebagai fokus utama. Sekali gus, Juwita pastinya memiliki kekuatan daripada mesej penting itu sendiri.

Saban kali lagu yang dihasilkan dengan menggunakan judul nama seseorang wanita berkisar mengenai individu tertentu. Namun, lagu ini sebaliknya membawa pengertian lebih luas merangkumi wanita daripada pelbagai latar belakang. Menurut vokalisnya, Wan Lukman, Juwita adalah perwakilan kepada setiap wanita yang wujud di muka bumi ini.

“Idea untuk lagu Juwita ini tercetus lebih kurang setahun yang lalu. Juwita dalam takrifan kami adalah perwakilan terhadap seluruh wanita yang wujud dalam hidup kita. Tidak kiralah ibu kita, teman wanita, kakak, sesiapa sahaja yang digelar wanita, dialah Juwita. Juwita yang tak pernah berkira, tak pernah penat, tak pernah beri alasan,” katanya.

Kehebatan wanita sememangnya sukar disangkal. Setiap wanita menurut HCY memiliki kuasa tersendiri yang mampu memberi kesan besar dalam hidup seseorang.

Mengambil kira situasi pandemik semasa juga, mereka tujukan khas lagu Juwita kepada pejuang barisan hadapan wanita yang tidak lelah menyelamatkan ramai pesakit.

“Selain ditujukan buat seluruh wanita secara amnya, lagu ini didedikasi khas buat barisan hadapan wanita kita. Mereka tidak henti bekerja keras demi negara dan pada masa sama, masih berbakti untuk keluarga,” katanya lagi.

Mendapat sentuhan keseluruhan anggotanya sendiri untuk penghasilan Juwita, Wan Lukman mendedahkan prosesnya berlaku sangat pantas dan spontan. Semestinya, paling memberi inspirasi kepada mereka adalah perjuangan barisan hadapan wanita. Menariknya, mereka turut mendapat sokongan untuk susunan muzik daripada Taja.

“Biasanya, idea tercetus tanpa dirancang. Inspirasi melodinya tercetus semasa seluruh anggota kami tengah main game dalam talian semasa PKP pertama. Selepas itu, HCJ bertukar idea dan pandangan dari awal pagi hingga ke lewat malam setiap hari. Atas tunjuk ajar dan nasihat Taja, terhasillah susunan yang paling menusuk kalbu untuk Juwita,” katanya.

Juwita boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.