Laman Utama
Here Comes July Tampil Berbeza Menerusi Sembunyi
Memperjuangkan muzik indie dan teguh mencipta karya sendiri bukan alasan buat kumpulan Here Comes July (HCJ) untuk menolak karya komposer lain.
Hakikatnya, mereka sentiasa terbuka untuk membawa angin berbeza dalam corak karya mereka. Demikian juga lagu pertaruhan terbaru mereka berjudul Sembunyi.
Here Comes July yang dianggotai Wan Lukman sebagai vokalis, Arfan Zainuddin (gitar utama), Adam Haiz (gitar ritma), Haziq Hashim (pemain bass), dan Irfan Ismail (dram) menyifatkan tugas melunaskan lagu ini bertujuan mencabar diri. Paling penting, mereka akui tertarik dengan aura tersendiri dalam Sembunyi yang sekali gus menyemarakkan semangat mereka.
“Sudah semestinya, mencipta lagu sendiri memberi makna yang lebih kerana inspirasi sewaktu menulis sesebuah lagu itu lebih terasa dekat di hati. Segala apa yang bermain dalam fikiran sekali gus dapat membantu dalam menterjemah perasaan lebih mendalam ketika menyanyikan lagu itu.
“Bagaimanapun, kami melihat aura lagu Sembunyi ini agak menarik. Serta-merta ia terus berjaya menangkap hati kami sejurus mendengar melodinya buat pertama kali.
"Kredibiliti Farouk mempercantik melodi dan liriknya menjadikan ia menepati jiwa HCJ semestinya. Itulah menjadi faktor utama mengapa kami menyahut cabaran ini,” kata mereka.
Sembunyi adalah runut bunyi untuk drama Single Terlalu Lama arahan Ungku Ismail Aziz yang dibintangi Riz Amin, Noorkhiriah, Zila Bakarin, Norman Hakim dan ramai lagi.
HCJ mengakui Sembunyi sememangnya cukup berbeza dengan karya terdahulu yang pernah mereka hasilkan. Bagaimanapun, perbezaan itu semestinya dari sudut positif.
“Secara keseluruhannya, Sembunyi memang dicipta sepenuhnya oleh Farouk Roman. Namun, kami bertuah diberikan peluang ini di mana Farouk mengambil inisiatif untuk berusaha menyesuaikan lagu ini dengan konsep yang kami bawakan selama ini. Pada masa yang sama, Farouk membuka ruang untuk menyuntik idea melodi digabung dengan kreativiti HCJ.
“Sewaktu kami menyampaikan lagu ini, kami dapat rasakan pelbagai perasaan ini berpadu dengan begitu sempurna meski dalam sebuah lagu sahaja. Kami berharap Sembunyi mampu membuka mata jejaka-jejaka dan gadis-gadis di luar sana untuk memahami apa maksud pergolakan perasaan tersembunyi yang semestinya berbeza buat setiap orang,” kata mereka lagi.
Sembunyi boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.
Must-Watch Video