Finalis Hero Remaja 2021 yang dinobatkan sebagai Hero Favourite, Syazani Zainal telah bersedia untuk masuk ke industri hiburan tanah air.

Namun menurutnya, dia perlu mengikuti kelas lakonan terlebih dahulu.

“Saya dah bersedia untuk masuk ke industri, tapi macam manapun, saya perlu masuk kelas belajar lakonan dahulu untuk tingkatkan kebolehan saya.

“Berkenaan kontroversi pula, agak risau sebenarnya dengan komen-komen negatif yang mungkin akan saya hadapi pada masa akan datang.

“Saya telah bincang perkara ini dengan keluarga, mereka pun faham dan memberi sokongan,” katanya.

Syazani berkata demikian ketika ditemui di Sidang Media Hero Remaja 2021 di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam pada Isnin.

Dalam pada itu, Syazani merancang untuk mendahulukan kerjaya seni dan menangguhkan dahulu akademiknya.

“Saya rancang untuk masuk industri dulu dan sambung belajar kemudian, buat masa ini saya menangguhkan dahulu pelajaran saya.

“Saya buat begitu kerana tidak mahu momentum selepas sertai Hero Remaja jatuh,” katanya yang mengambil jurusan Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3.

Sabtu lalu, program Hero Remaja 2021 berakhir dengan menyaksikan Mierul Aiman sebagai juara yang membawa pulang RM10,000 beserta selempang dan trofi.

Sementara tempat kedua jatuh kepada Aqil Taqee, manakala Fazziq Muqris menduduki tempat ketiga.

Pada masa sama, Aqil turut dinobatkan sebagai Hero Inspirasi selain Syazani yang mendapat gelaran Hero Favourite.

Dapatkan kemaskini berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.