Laman Utama
Hikayat Ala Cinderella Elemen Penarik Lagu Lenggang Nyanyian Khodi
Penyanyi baru yang kian meningkat naik, Khodi, 19, kini tampil dengan lagu terbaru berjudul Lenggang.
Berbeza dengan suntikan plot cerita moden, Khodi mengambil pendekatan berani bagi memberikan perisa berbeza terhadap Lenggang.
Menurutnya Lenggang adalah kisah seorang puteri yang tertunggu kehadiran putera impiannya, demikian juga ceritanya untuk si putera tercari puteri idamannya.
“Lagu ini ala cerita Cinderella. Namun, untuk muzik video Lenggang, saya dan pasukan memberikan sedikit ‘twist’ atau kelainan pada jalan ceritanya. Saya memainkan watak seorang puteri kayangan yang mempunyai sifat alter ego bertopengkan sifat baik dan nakal. Dia berjaya mempesona si putera dengan watak baiknya.
“Bagaimanapun, akhirnya si putera cuma dipermainkan apabila si puteri bertukar menjadi nakal. Saya harap pendengar dapat menghayati mesej lirik Lenggang ini yang sebenarnya sebuah hikayat relevan tidak kira zaman mengenai pencarian cinta antara dua hati. Semoga pendengar juga akan menikmati penceritaannya dalam genre ‘fusion’ pop asli,” katanya.
Khodi atau nama sebenarnya, Seri Khodijah Kamarul Bahrin gemar bereksperimen dengan pelbagai jenis rentak lagu.
Menurutnya, kekuatan utama Lenggang adalah melodinya yang mudah melekat di jiwa. Elemen asli yang disuntik juga menambahkan lagi keindahan lagu ini.
Paling memuaskan hatinya, Khodi dapat mempelajari dan mempersembahkan sendiri koreografi tarian Lenggang.
“Bagi saya lagu ini mempunyai melodi dan rentak yang unik dan sebaik mendengar, melodinya akan melekat terus dalam ingatan. Ia tidak mudah dilupakan. Rentak elemen asli dalam lagu ini juga sangat menghiburkan dan boleh membuat sesiapa saja terasa nak menari.
"Saya boleh katakan, lagu ini mampu mencipta satu perasaan indah. Paling teruja, saya berpeluang untuk menari dalam video muzik Lenggang.
"Semestinya ia pengalaman baru disebabkan saya bukan seorang penari. Koreografinya menggabungkan tarian Melayu, Keraton dan bagi korus pula tarian Inang. Lenggang ini sangat menghiburkan dan semoga pendengar dapat sama-sama mencuba tarian Lenggang ini,” katanya lagi.
Dihasilkan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), cabaran terbesar bagi Khodi adalah untuk menyanyikan sebuah lagu luar zon selesanya. Tetapi dengan bimbingan penerbit Lenggang iaitu Shazee, proses itu menjadi lebih mudah.
“Saya sangat menghargai bimbingan dan kerjasama yang diberikan oleh penerbit hebat ini sepanjang proses rakaman. Selesai rakaman, saya dan pasukan menetapkan konsep muzik video Lenggang pula.
"Bagi saya, tariannya juga antara cabaran besar kerana ini adalah kali pertama saya benar-benar menari.
“Dalam tempoh seminggu, pereka tari Emma Tosh dan Raja Eizureen berusaha mengajar langkah tarian dan barulah saya tahu menyanyi sambil menari bukan mudah. Pengalaman berharga ini banyak mengajar.
"Alhamdulillah, hasilnya sangat memuaskan hati dan saya sangat bersyukur dipertemukan dengan insan-insan seni yang handal belaka.
Penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini memulakan karier muziknya sekitar tahun lalu. Khodi yang juga penuntut jurusan Diploma Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pernah tampil dengan lagu pertamanya berjudul Ke Mana sebelum ini.
Lenggang boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, dan YouTube.
Muzik video rasminya juga telah dilancarkan di YouTube malam tadi.
Must-Watch Video