HIBURAN
Hilal Azman Syukur, Tak Sangka Menang Pelakon Terbaik Asia Pasifik Lepas 46 Tahun Dalam Industri
Selepas hampir lima dekad bergelumang dalam dunia seni, pelakon berpengalaman Datuk Hilal Azman akhirnya meraih pengiktirafan antarabangsa apabila diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Filem Asia Pasifik ke-61 menerusi filem Memori.
Hilal atau nama sebenarnya Nor Hilal Abdullah, 62, berkata, kemenangan yang diumumkan pada acara kemuncak di Macau, China Februari lalu itu benar-benar di luar jangkaannya, apatah lagi saingan datang daripada pelakon hebat rantau Asia termasuk dari Jepun, Filipina dan China.
“Syukur Alhamdulillah, ini rezeki yang sangat besar buat saya. Tak sangka selepas 46 tahun dalam industri, akhirnya saya diberi peluang merasa kemenangan di peringkat antarabangsa.
“Sebelum ini saya pernah menang Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Seri Angkasa, tapi ini kali pertama saya menang anugerah Pelakon Terbaik Asia Pasifik. Kami bukan lawan calang-calang, ada dari Filipina, Jepun dan China… dan Memori dipilih. Saya sangat terharu,” katanya kepada Gempak.
Hilal berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media tayangan perdana Memori di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur malam Selasa.
Menonton sendiri filem berkenaan buat pertama kali, Hilal turut menyatakan kekagumannya terhadap dua pelakon utama lain, Hisyam Hamid dan Diana Danielle.
“Lakonan Hisyam dan Diana pun luar biasa. Mereka bukan pelakon pembantu, tapi mutu lakonan mereka setaraf saya. Elok juga kalau boleh kerat tiga anugerah ni, bagi sorang sikit, sebab masing-masing sangat bagus,” katanya.
Membawakan watak Hussain, seorang lelaki warga emas yang menghidap Alzheimer, Hilal mendedahkan dia banyak merujuk kepada rakaman video arwah bapa pengarah filem berkenaan bagi mendalami karakter tersebut.
“Pengarah tunjuk video arwah bapanya yang sakit Alzheimer, bagaimana cara bercakap, berjalan dan menjerit. Masa babak menjerit tu, pengarah sampai buka headphone sebab dia menangis dan rasa babak itu sangat ‘kena’ dengan apa yang pernah dilalui.
“Saya dapat ‘rasa’ tu hanya melalui video. Tapi dengan bantuan sembilan guru lakonan sepanjang karier saya dan pengalaman 46 tahun dalam industri, ia membantu saya improvise dengan baik,” katanya.
Untuk makluman, Memori meraih lebih 20 anugerah di peringkat antarabangsa termasuk Filem Terbaik, Filem Tahun Ini, Pengarah Terbaik, Suntingan Terbaik dan Penerbit Terbaik.
Filem terbitan Da Huang Pictures itu turut diraikan di festival filem utama dunia seperti di Los Angeles, New York, Mexico, Berlin, Tokyo, Singapura, China dan Filipina.
Memori bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 31 Julai ini dan turut dibintangi Diana Danielle dan Hisyam Hamid.
Must-Watch Video