Pengarah Syamsul Yusof menyatakan rasa syukur apabila filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mencecah kutipan RM47 juta.

Jumlah itu sekaligus memecahkan rekod dipegang Munafik 2 sebagai filem meraih kutipan tertinggi dengan rekod terkini sejak ia mula ditayangkan pada 23 Jun lalu.

“Allahuakhbar, hilang kata… Limpah kurnia dariNya. Alhamdulillah terima kasih semuanya. Majulah filem bangsa dan negara.

“Filem nombor satu Malaysia dua minggu berturut-turut. Masih terus mengetepikan filem Hollywood untuk minggu kedua,” tulisnya dalam hantaran baharu di akaun Instagram miliknya hari ini.

A post shared by Syamsul Yusof (@syamsulyusoffilm)

Untuk rekod, filem seram Munafik 2 mencatatkan jumlah kutipan RM37.7 juta pada tahun 2018.

Menariknya, kedua-dua filem box-office ini diarahkan oleh sutradara yang sama iaitu Syamsul Yusof.

Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mengangkat kisah epik sejarah pahlawan Mat Kilau dan rakan-rakannya dalam perjuangan menentang penjajahan British di Pahang.

Filem berskala besar itu dibintangi ramai pelakon berbakat besar seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian, Johan Asa'ri, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Ellie Suriaty dan ramai lagi.