Ingatkah anda pada filem seram popular pada tahun 2008 berjudul Histeria? Kini filem seram tersebut kembali dengan kisah sambungannya menerusi Histeria The Series.

Mula menayangkan episod pertama pada malam ini, Alia yang dilakonkan oleh Mia Sara mula mendaftar di sekolah baharu, Sekolah Sri Fatimah.

Cuba menyesuaikan diri, dia berkenalan dengan rakan sekelas iaitu Putri dan Vanidah.

Menjengah ke bilik asrama, Alia dimaklumkan tempat tinggalnya itu dahulu milik seorang pelajar yang membunuh diri bernama Farah.

Naskhah Histeria The Series diterajui oleh pelakon-pelakon muka berbakat tanahair seperti Mia Sara Datuk Afdlin Shauki, Sharifah Aryana Syed Zainal Rashid AlYahya, Amelia Christie dan Serra Kamal.

Lebih menarik, ia juga mengembalikan pelakon dan watak asal daripada filem Histeria iaitu Liyana Jasmay sebagai Murni dan turut membariskan pelakon terkenal Namron, Tony Eusoff, Ziana Zain, Ziha Salleh, Fimie Don, Mathni Razak dan Dr. Rosdeen Suboh.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)


Histeria The Series mengisahkan sekumpulan pelajar di sebuah sekolah berasrama mulai dihantui oleh perkara misteri dan membawa mereka untuk menjejak kes pembunuhan yang berlaku di sekolah mereka 10 tahun yang lalu.

Sejak daripada penyiasatan mereka, satu per satu insiden dan perkara ngeri berlaku sehingga menyebabkan kejadian yang berlaku pada 10 tahun lalu bakal berulang.

Episod pertama Histeria The Series akan ditayangkan secara serentak di saluran Astro Citra dan Astro Ria pada jam 9.00mlm, malam ini.

Manakala untuk minggu-minggu seterusnya, saksikan siri drama premium ini pada setiap hari Isnin.

Saksikan Histeria The Series yang akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 6 Jun ini. Untuk pilihan alternatif, anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand.