Stesen radio Inggeris nombor satu, HITZ membuka ruang kepada penggiat muzik tempatan untuk mengetengahkan lagu-lagu ciptaan mereka untuk dimainkan di frekuensi radio berkenaan.

Justeru, penggiat seni yang mempunyai lagu-lagu tempatan berbahasa Inggeris kini dialu-alukan menghantar lagu-lagu mereka untuk diputarkan di radio tersebut.

Ia merupakan inisiatif yang dilakukan HITZ sebagai salah satu usaha dalam memartabatkan bakat dan karya anak tempatan menerusi penerbitan lagu-lagu bahasa Inggeris.

Pengurus Rangkaian Kandungan Jenama Radio Inggeris, Priya Prabakaran berkata, usaha itu juga sekaligus membolehkan HITZ memperkenalkan lagi kepada umum lagu-lagu Inggeris tempatan berkualiti kepada pendengar.

“Sebelum ini, senarai lagu-lagu yang dimainkan hanya berdasarkan satu sistem ranking populariti yang menjadi pilihan pendengar.

“Bagaimanapun, cara sebegitu secara tidak langsung membuatkan ada lagu-lagu yang tidak berjaya duduk dalam senarai lagu yang akan dimainkan.

“Justeru, HITZ komited untuk menyajikan lebih banyak lagi muzik dan bakat tempatan menerusi karya-karya Bahasa Inggeris yang mereka ada,” katanya.

Kesemua demo lagu yang diterima akan dinilai oleh Priya bersama dua penggiat industri muzik tempatan Darren Teh dan Roshan Jamrock.

Menariknya, bagi yang terpilih, lagu mereka bukan sahaja dimainkan di radio, sebaliknya berpeluang untuk mempromosikan bakat dan diri mereka kepada umum menerusi platform yang disediakan HITZ.

Artis tempatan yang terpiliih akan disenaraikan profil mereka dalam laman web, menerima sokongan digital, berpeluang merakam lagu sesi unplugged dan ke udara untuk ditemu bual.

Untuk rekod, selama ini HITZ hanya memainkan lagu bahasa Inggeris daripada artis tempatan menerusi satu slot pada hujung minggu sahaja.

Jadi, bagi artis tempatan yang mahu merebut peluang ini, jangan lupa hantarkan demo lagu anda di HITZ menerusi www.hitz.com.my bermula 1 Ogos 2020.

Dalam pada itu, jangan lupa anda juga boleh layan lagu-lagu yang dimainkan di HITZ menerusi aplikasi SYOK di telefon pintar anda!