WATCH
Honda Civic EG4 jana B18C Type R
Honda adalah satu jenama yang sudah tidak asing lagi dikalangan peminat kereta di Malaysia. Di ceruk mana sekalipun, jenama ini pasti boleh dilihat kelibatnya.
Bagi model yang sudah berumur, pemiliknya akan memastikan jentera mereka masih dalam keadaan sempurna yang mana anda boleh lihat pada Honda EG4 paparan kali ini.
Honda Civic EG4 adalah jentera yang sudah di naik taraf dengan begitu baik. Biarpun nampak biasa, ia sebenarnya menerima set persalinan penuh dari model asli EG6 yang sangat popular.

Rangkaian asal sememangnya tidak lagi digunakan dan ditukar kepada enjin berkod B18C Type R. Jika enjin standard output yang dihasilkan cukup mantap apabila mencecah 197 sehingga 200hp.
Namun, beberapa komponen diganti dengan yang lebih baik dan berprestasi seperti omboh berketahanan tinggi milik B16B untuk menghuni bahagian blok.
Kepala silindernya sudah tentu melalui proses ‘port & polish’ yang turut dipadankan bersama aci sesondol Skunk2 dan diikat puli ‘pulley’ boleh laras.

Penapis udara HKS ditugaskan untuk menapis udara bersih memasuki ruangan enjin, manakala radiator aluminium pula berfungsi bagi menyejukkan enjin dengan kadar lebih sempurna.
Pada masa sama, ruang enjin juga tampak kemas dan menarik apabila dilengkapi hos Samco Sport berketahanan tinggi berbanding produk biasa.
Gas karbon yang terhasil dari kebuk pembakaran ditolak keluar melalui ekstraktor rekaan Jasma dan seterusnya keluar di peredam Spoon, selain tenaga dari enjin itu disalurkan ke roda melalui kotak gear yang dilengkapi klac berprestasi milik Exedy. Talaan enjinnya juga lebih sempurna dengan penggunaan unit ECU Spoon.

Selain enjin, kestabilan dan pengendalian dinaik taraf dengan sistem penyerap hentak boleh laras Tein Monoflex.
Ruang dalaman turut tidak ketinggalan apabila disalin sepenuhnya dari model Civic EG6. Bagi tampak lebih menarik, pemiliknya menggunakan tombol gear Spoon serta semua pedal ditukar daripada model Type R.

Jika tengok luarannya, ia masih lagi nampak standard cuma tampak menyerlah dengan padanan bumper USDM di bahagian hadapan, bonet gentian karbon asli dari Jepun, cermin sisi karbon Spoon.
Bahagian belakang pula dilengkapi bonet belakang gentian karbon, spoiler Spoon, bumbung matahari EG6, lampu belakang USDM serta keseluruhan cermin milik EG6 Cromax.

Paling menarik pada bahagian luaran adalah rim Mugen MF10 yang dibaluti tayar Toyo Proxes T1R sekali gus tampak hebat.
Dengan tanggungjawab yang diberi, ternyata pihak SR Auto Garage berjaya memuaskan hati pemilik jentera ini.
Must-Watch Video