WATCH
Honda Civic EP3 Type R, bukan jentera biasa-biasa
Pemilik jentera yang dipaparkan dalam ruangan modifikasi ini, bukannya calang-calang orang kerana dia terkenal dengan menghasilkan karya-karya cat semburan angin.
Sebut saja Zaki Airbrush, pastinya ramai mengenalinya selepas peminat semburan angin sama ada untuk motosikal atau produk lain yang menerima sentuhan seni daripada tangannya.

Pada masa sama, hasil tangannya juga boleh di lihat pada topi keledar pelumba Moto3 tanah air iaitu Zulfahmi serta beberapa pelumba lain.
Jika sebelum ini dia memiliki jentera Honda Civic EK. Namun, dengan minatnya yang sangat mendalam terhadap jenama Honda, dia mengambil keputusan untuk menukar kepada satu model yang boleh dikatakan agak sukar untuk di lihat di negara kita ini iaitu Honda Civic EP3 Type R.

Jentera warna kuning ini didatangkan dengan enjin K20A Type R berkapasiti 2.0 liter i-Vtec yang sememangnya memiliki kuasa sangat mantap.
Enjin seperti ini sebenarnya banyak digunakan jentera berprestasi lain untuk jenama Honda bagi menyalur kuasa yang lebih padu.

Rangkaian kuasa asal EP3 ini boleh dikatakan tidak dinaik taraf dengan begitu ekstrem disebabkan kuasa asalnya sudah cukup memberikan persembahan terbaik.
Bagaimanapun, ada sedikit modifikasi dilakukan antaranya dipasangkan aci sesondol Toda A3 serta spring injap jenama Skunk2 bagi membantu dari segi penambahan kuasa.

Ruangan enjinnya juga disusun kemas, selain diserikan lagi ‘valve cover’ yang diwarnakan keemasan hasil tangannya sendiri.
Gas karbon yang terhasil dari enjin akan terus dihantar keluar ke ‘muffler’ J’s Racing yang bersedia menunggu di belakang dan pastinya ia mengeluarkan bunyi menarik jika menekan pedal minyak secara maksimum.

Kuasa terhasil itu seterusnya disampaikan ke kotak gear yang dilengkapkan klac berprestasi tinggi OS Giken dwi plat terus ke bahagian roda.
Bagi ruang dalamannya, jentera ini masih lagi kekal asal yang mana tampak kemas dari segenap ruang.

Cuma boleh kelihatan meter Sequential Indicator yang diletakkan pada bahagian papan pemuka bagi membantu pemandu memantau perjalanan enjin.
Sementara itu, bahagian luarannya pula dipadankan kit badan ‘facelift’ model tahun 2004 dan tampak lagi hebat serta garang dengan rim Enkei RPF1 berukuran 17 inci yang turut dibaluti tayar Hankook Ventus RS3 bagi memberi kuasa cengkaman pada permukaan jalan.

Tahap kestabilan jentera diberi tugas kepada suspensi boleh laras GAB, manakala kuasa hentian diperkuatkan dengan sistem brek Endless 6pot di bahagian hadapan manakala belakang dipadankan pelapik brek berketahanan suhu yang tinggi.
Biarpun sedikit ubahsuai yang dilakukan, ia sebenar sudah cukup buat EP3 ini sama ada menawarkan dari segi prestasi atau gaya. Ternyata itulah kelebihan Honda Civic EP3 Type R yang membuat ramai tergila-gila untuk memiliknya.

Must-Watch Video